Bukan kerajaan yang puji, Muhyiddin sendiri sambut baik langkah PMX ringankan beban rakyat

Langkah kerajaan memperluas kelayakan subsidi RON95, melonggarkan pelaksanaan e-Invois serta menambah bantuan kepada golongan peniaga mendapat sambutan positif daripada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya berpotensi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Antara langkah yang diberi perhatian ialah pengembalian had kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.

Menurut Muhyiddin, keputusan itu dijangka dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya ketika masyarakat berdepan peningkatan kos kehidupan.

Beliau turut menyambut baik keputusan menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun.

Katanya, langkah berkenaan dapat membantu perniagaan yang sedang berdepan tekanan akibat peningkatan kos.

“Langkah-langkah lain yang membabitkan peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah-sekolah berjumlah RM500 juta, pendigitalan perkhidmatan kesihatan, akses kepada langganan perisian kecerdasan buatan untuk belia.

“Penambahan kemudahan mikro kredit sebanyak RM1 bilion untuk peniaga kecil dan geran RM200 juta untuk membantu penjaja kecil, peniaga pasar malam dan wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah diharapkan akan dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata langkah berkenaan turut berpotensi merancakkan aktiviti perniagaan, terutama dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Namun, Muhyiddin mengingatkan kementerian dan agensi berkaitan supaya tidak mengambil masa lama untuk menyalurkan peruntukan yang diumumkan.

Katanya, bantuan perlu disampaikan segera kepada individu dan perniagaan yang benar-benar layak supaya manfaat daripada pengumuman kerajaan dapat dirasai rakyat.

“Susulan daripada pengumuman langkah-langkah ini, adalah penting untuk kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan menyalurkan peruntukan dengan kadar segera dan memastikan setiap bantuan sampai kepada individu dan perniagaan yang layak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap langkah berkenaan tidak terhenti setakat pengumuman semasa, sebaliknya diteruskan dengan pendekatan lebih menyeluruh menerusi Belanjawan 2027.

Muhyiddin turut mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula dasar percukaian serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi yang menurutnya memberi kesan langsung kepada beban kewangan rakyat.

“Saya berharap langkah-langkah yang diumumkan ini akan disusuli dengan langkah-langkah lain yang lebih komprehensif untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, membantu perniagaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi menerusi Belanjawan 2027,” katanya.

Beliau berkata perkara itu termasuk kajian semula terhadap dasar percukaian dan rasionalisasi subsidi yang dilihat memberikan kesan langsung kepada beban yang sedang ditanggung rakyat.

Kenyataan Muhyiddin itu menarik perhatian kerana beberapa langkah diumumkan kerajaan pimpinan Anwar mendapat pengiktirafan positif daripada bekas perdana menteri yang kini mengetuai salah satu parti utama pembangkang.

Pada masa sama, Muhyiddin masih meletakkan beberapa tuntutan supaya kerajaan memperluas lagi langkah bantuan kepada rakyat dan sektor perniagaan pada masa akan datang.

BACA JUGA Rakyat luah lega, sambut baik pengumuman PMX kembalikan 300 liter