Penyokong Pas dalang di sebalik isu perkauman di Pulau Pinang
Pihak berkuasa telah mengenalpasti individu yang cuba mempermainkan isu perkauman dan agama di Pulau Pinang.
Menurut sumber individu tersebut seorang penyokong Pas.
Semalam Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah menamakan pengguna TikTok Mohd Sophian Mohd Zain sebagai dalang di sebalik video yang telah tersebar.
Sophian dikehendaki menurunkan segala video berunsur hasutan dan mengeluarkan satu video permohonan maaf demi menjernihkan persepsi negatif yang telah tersebar di negara ini.
Walau bagaimanapun Sophian enggan berbuat demikian.
“Video TikTok itu menyemai kemarahan umat Islam di seluruh negara ketika perselisihan berkaitan isu tersebut sedang berjalan antara Ahli Jawatankusa (AJK) kariah, pentadbir surau dan pengurusan bangunan terbabit.
“Tindakan Sophian yang menangguk di air yang keruh ini jelas hanyalah untuk menonjolkan diri sendiri dengan kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan kebencian dan ketegangan di antara kaum dan agama,” kata Yang Dipertua MAINPP Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Sophian telah memuatnaikkan video di TikTok dari mesyuarat tertutup Badan Pengurusan Bersama (JMB) Tri Pinnacle, Tanjong Tokong, di Georgetown dengan penduduk berkaitan dengan penggunaan pembesar suara untuk laungan azan.
Seusai perjumpaan dengan Ahmad Zakiyuddin, Sophian turut mengadakan sesi langsung dan mengapi-apikan umat Islam dalam perkara ini.
Ramai pengguna TikTok turut menggesa agar Sophian ditahan oleh pihak berkuasa.