BUDI95, AI percuma dan e-invois – 3 ‘hadiah merdeka’ PMX paling raih sambutan rakyat
Enam ikhtiar segera bagi memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara berkuat kuasa hari ini dan sebahagiannya dilaksanakan secara berperingkat.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 dilihat membawa khabar gembira kepada rakyat terutamanya pengguna kenderaan, belia, peniaga dan penjaja.
Semakan berdasarkan jejak perbualan awam dan laporan media mendapati inisiatif nombor satu paling meraih sambutan positif rakyat adalah peningkatan semula kelayakan asas Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.

Malah sebelum pengumuman PMX kelmarin, rakyat mengharapkan supaya kuota BUDI95 dikembalikan kepada 300 liter.
Selepas diumumkan, rata-rata pengguna media sosial menyambut baik keputusan tersebut, khususnya mereka yang sebelum ini merasakan had 200 liter tidak mencukupi.
Tinjauan media pula menemui pengguna yang menyifatkannya sebagai “lega”, “sangat membantu” dan langkah yang baik khususnya bagi mereka yang berulang-alik jauh untuk bekerja.
BUDI95 denan kuota 300 liter paling ‘meletup’ kerana memberi kesan kepada kumpulan yang sangat besar.
Ini memandangkan Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan kira-kira 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi RM1.99 seliter.
Menangkap imaginasi
Di tangga kedua paling mendapat sambutan baik rakyat adalah Program AI Untuk Rakyat yang akan diperluaskan kepada golongan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Seramai 100,000 belia yang berjaya melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan percuma aplikasi kecerdasan buatan (AI) selama tiga bulan melibatkan IlmuChat, Gemini Enterprise, Wonderclip dan MuleRun.
Ikhtiar kerajaan MADANI ini dilihat menangkap imaginasi anak muda dengan rata-rata reaksi positif belia terutamanya pelajar.

Mereka yang ditemu bual media menyifatkan langganan AI percuma itu berguna untuk pembelajaran, menambah pengetahuan dan membuat rujukan.
Menariknya, minat terhadap program AI kerajaan memang sudah besar sebelum pengumuman terbaharu ini.
Rekod yang dibentangkan di Parlimen menyaksikan modul AI Untuk Rakyat mempunyai penyertaan tertinggi, sekitar 1.42 juta peserta atau 89.72 peratus daripada penyertaan kursus Rakyat Digital sehingga 8 Januari lalu.

Ketiga, keputusan kerajaan MADANI menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun dilihat memberikan kelegaan besar kepada golongan peniaga.
Walaupun ikhtiar itu bukan bantuan tunai, tetapi kerajaan telah menghapuskan satu kebimbangan pematuhan yang telah lama diperkatakan dalam kalangan peniaga kecil.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menganggarkan keputusan itu memberi manfaat kepada lebih 1.1 juta peniaga yang mendapat pengecualian.
Respons komuniti perniagaan juga sangat positif. Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) contohnya menyifatkan kenaikan ambang kepada RM3 juta sebagai langkah yang amat dialu-alukan.
ACCCIM menerusi kenyataan berkata, ikhtiar tersebut mengurangkan kos pematuhan dan membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menggunakan modal untuk operasi perniagaan.
Malah Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin, menerusi hantaran Facebook turut secara khusus menyebut BUDI95 300 liter dan pengecualian e-Invois RM3 juta sebagai langkah yang dijangka membantu rakyat dan perniagaan menghadapi kenaikan kos.
BACA JUGA Bukan kerajaan yang puji, Muhyiddin sendiri sambut baik langkah PMX ringankan beban rakyat