Bukan sekadar angka ekonomi, kemerdekaan mesti dirasai dalam kehidupan rakyat
Kemerdekaan negara mesti dapat dirasai secara nyata dalam kehidupan rakyat menerusi kesejahteraan, perlindungan dan peluang meningkatkan taraf hidup, kata Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Datuk Aiman Athirah Al Jundi.
Menurutnya, Amanat Merdeka yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan pendekatan Kerajaan MADANI yang mahu memastikan hasil kemajuan negara kembali memberi manfaat kepada rakyat.
Ahli Parlimen Sepang itu berkata, beberapa langkah yang diumumkan PMX bukan sahaja bertujuan meringankan tekanan kos sara hidup, malah membantu kelangsungan perniagaan, memperkukuh perkhidmatan kerajaan dan membina asas ekonomi lebih berdaya tahan.
“Sempena sambutan kemerdekaan ini, pengumuman Amanat Merdeka oleh YAB PMX membawa mesej yang jelas bahawa kemerdekaan mesti diterjemahkan melalui kesejahteraan rakyat.
“Negara yang benar-benar maju bukan hanya mempunyai pertumbuhan ekonomi yang kukuh, tetapi sebuah negara yang memastikan rakyatnya merasa dilindungi, dihargai dan diberikan peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kehidupan harian
Aiman Athirah berkata, keputusan kerajaan mengembalikan kelayakan subsidi RON95 daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan antara langkah yang mengambil kira realiti kehidupan rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja, berniaga dan mengurus kehidupan harian.
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional berkenaan berkata, langkah itu memberi ruang kelegaan kepada rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup, selain mengekalkan prinsip pengurusan subsidi secara bertanggungjawab supaya bantuan kerajaan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Dalam aspek perniagaan pula, beliau menyambut baik keputusan menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan dengan hasil jualan sehingga RM3 juta setahun yang disifatkan memberi ruang penyesuaian lebih munasabah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurutnya, kerajaan turut mengambil pendekatan lebih menyeluruh apabila meningkatkan peruntukan penyelenggaraan sekolah sebanyak RM500 juta, memperkukuh pendigitalan perkhidmatan kesihatan, menyediakan akses langganan aplikasi kecerdasan buatan (AI) kepada belia serta menambah kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion.
Beliau menyifatkan langkah berkenaan sebagai satu bentuk “pelaburan sosial” kerana pendidikan, kesihatan dan teknologi merupakan asas penting yang menentukan keupayaan rakyat serta daya saing negara pada masa hadapan.
Ekonomi akar umbi
Aiman Athirah turut menyambut baik penyediaan Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga pasar malam serta wanita yang menjalankan perniagaan dari rumah, sambil menyifatkan golongan berkenaan sebagai antara penggerak penting ekonomi akar umbi.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan sesuatu dasar bukan hanya bergantung kepada jumlah peruntukan diumumkan, sebaliknya ditentukan oleh sejauh mana manfaat itu benar-benar sampai kepada rakyat.
Justeru, katanya, kementerian dan agensi berkaitan perlu memastikan peruntukan disalurkan dengan segera, proses permohonan dan penyampaian bantuan dipermudah serta tiada golongan layak tercicir daripada menerima manfaat.
“Kerajaan yang baik bukan hanya dinilai melalui dasar yang diperkenalkan, tetapi melalui keupayaan melaksanakan dasar tersebut dengan cekap, telus dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, langkah jangka pendek tersebut juga perlu disusuli reformasi lebih menyeluruh menerusi Belanjawan 2027 termasuk usaha meningkatkan pendapatan rakyat, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti, memperkasa PMKS, memperluas peluang ekonomi digital dan mengukuhkan daya saing negara.
Pada masa sama, katanya, dasar percukaian dan rasionalisasi subsidi perlu terus diteliti secara berhati-hati dengan mengambil kira kemampuan rakyat serta keperluan memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan.
Aiman Athirah berkata, semangat Malaysia MADANI akhirnya perlu diterjemahkan melalui sebuah pentadbiran yang bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan, tetapi memastikan kemajuan negara benar-benar dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.
BACA JUGA BUDI95, AI percuma dan e-invois – 3 ‘hadiah merdeka’ PMX paling raih sambutan rakyat