Dapat info projek lewat, KSN buat lawatan mengejut ke HKL
Kelewatan projek Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapat perhatian segera kerajaan apabila pemantauan mengejut dilakukan di lokasi berkenaan bagi mengenal pasti perkara yang masih menghambat kemajuannya.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara(KSN), Tan Sri Ssamsul Azri Abu Bakar menerusi hantaran di media sosial, dengan berkata kerajaan tidak mahu projek yang memberi kesan langsung kepada rakyat terus tertangguh tanpa penyelesaian, terutama kemudahan kesihatan yang kritikal dan amat diperlukan.
Menurutnya, lawatan mengejut itu dilakukan sejurus selepas Mesyuarat STAR, yang antara lain membincangkan projek-projek lewat termasuk projek Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL yang baharu.
Beliau berkata pemantauan itu turut disertai Ketua Pengarah Kerja Raya, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pengarah HKL serta pasukan berkaitan bagi melihat sendiri perkembangan projek di lapangan.
“Antara perkara yang kita lihat adalah keadaan di lapangan, mengenal pasti perkara yang masih menghambat kemajuan projek dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan serta-merta,” katanya.
Hamsul Azri turut meninjau unit kecemasan HKL sedia ada bagi melihat sendiri keadaan serta keperluan kemudahan berkenaan yang kini digunakan sementara projek baharu disiapkan.
Dalam lawatan itu, beliau bertemu ketua jabatan, doktor pakar dan kakitangan yang sedang bertugas untuk mendapatkan gambaran secara langsung mengenai keperluan serta cabaran yang dihadapi.
Katanya, hasil tinjauan itu menunjukkan keperluan terhadap kemudahan kecemasan yang lebih baik adalah mendesak dan tidak boleh dibiarkan berlarutan.
“Keperluannya mendesak dan tidak boleh dibiarkan berlarutan,” katanya.
Beliau memberi jaminan kerajaan akan terus memantau rapat kemajuan projek berkenaan sehingga ia siap sepenuhnya dan boleh mula beroperasi untuk kegunaan orang ramai.
Katanya, usaha akan dipergiat bagi memastikan projek berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Kerajaan akan terus memantau rapat kemajuan projek ini sehingga siap dan boleh beroperasi. Insya-Allah, kita usahakan dalam masa terdekat,” katanya.
Projek baharu Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL merupakan antara kemudahan yang penting bagi menampung keperluan perkhidmatan kecemasan di hospital berkenaan, yang menjadi antara pusat rawatan utama di ibu negara.
Perkembangan terbaharu itu menunjukkan pendekatan kerajaan untuk memberi perhatian terus kepada projek yang mengalami kelewatan, khususnya projek infrastruktur awam yang mempunyai kesan langsung terhadap perkhidmatan kepada rakyat.
BACA JUGA Sarawak tambah 17 kerusi DUN, SPR mula lukis peta baharu