Walkabout Dewan A MAHA 2026, Mohamad Sabu santuni pemamer Agro tempatan dan global

FOTO BERITA: Sesi Walkabout Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Datuk Seri Mohamed Sabu ke Dewan A, MAEPS Serdang, Selangor. 1hb September 2026 (Selasa)

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengadakan sesi walkabout di Dewan A, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS Serdang bagi meninjau perkembangan produk, teknologi serta inovasi yang dipamerkan pemain industri agromakanan.

Dewan A menjadi antara tumpuan utama MAHA 2026 menerusi platform MAHA Go Global yang menghimpunkan pemain industri daripada pelbagai cabang pertanian, pemprosesan makanan, teknologi, akuakultur, hortikultur serta produk hiliran.

Berdasarkan direktori pempamer MAHA 2026, sebanyak 149 pempamer berdaftar ditempatkan merentasi lapan segmen pameran interaktif, dengan empat segmen sedang aktif ketika ini.

Lapan segmen berkenaan ialah Go Global, Grow Local; Motherbooth KPKM; Horticulture Trade Pavilion; Poultry & Pet Pavilion; Pavilion HPPNK; Aquatic World Pavilion; Country Pavilion; serta MYSE 2026.

Segmen Go Global, Grow Local sahaja menghimpunkan 39 pempamer, manakala MYSE 2026 mempunyai 96 pempamer dan Aquatic World Pavilion menampilkan 12 pempamer daripada industri berkaitan akuakultur.

Lawatan Mohamad memberi peluang kepada beliau melihat sendiri kemampuan syarikat tempatan menghasilkan produk bernilai tambah dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa, termasuk produk makanan, buah-buahan premium, makanan sedia dimakan, produk kesihatan, baja, teknologi pertanian serta hasil akuakultur.

Industri durian turut mendapat tempat menerusi penyertaan Persatuan Pengilang Durian, LK Durian Sdn Bhd dan Duricious Sdn Bhd, manakala sektor nanas diwakili antaranya Ananas Premium Sdn Bhd, Pertubuhan Pengeksport Nanas Malaysia serta Jutawan Agriculture Products (M) Sdn Bhd.

Transformasi pertanian berteknologi tinggi pula diperlihatkan menerusi penyelesaian autonomi, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan dron yang ditawarkan syarikat seperti Aonic Sdn Bhd, selain teknologi mekanisasi, automasi dan pemprosesan hasil pertanian oleh Logsco Agri Technology Sdn Bhd.

Dalam bidang akuakultur, pengunjung boleh melihat penyertaan syarikat seperti BP Aquatic Group Sdn Bhd, Blue Archipelago Berhad, GKAqua Sdn Bhd, ARC Berkat Agro Food Sdn Bhd dan Bintong Arowana Farm Sdn Bhd yang mengetengahkan ikan hiasan, udang serta hasil akuakultur untuk pasaran domestik dan eksport.

Turut berada dalam ekosistem pameran ialah agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Program Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor yang memainkan peranan dalam aspek pemasaran, keselamatan makanan dan pembangunan sektor pertanian.

Turut berada dalam ekosistem pameran ialah agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Program Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor yang memainkan peranan dalam aspek pemasaran, keselamatan makanan dan pembangunan sektor pertanian.

Kepelbagaian pempamer di Dewan A memperlihatkan hala tuju MAHA bukan lagi sekadar mempamerkan hasil pertanian konvensional, sebaliknya menjadi medan mempertemukan pengeluar, pencipta teknologi, pengeksport, pelabur dan pengguna dalam satu ekosistem agromakanan yang lebih moden.