21 penumpang cedera, feri berlanggar dengan kapal di Pelabuhan Pulau Pinang
Satu pelanggaran antara Feri Teluk Bahang dengan kapal MV Mekar Jaya di had perairan Pelabuhan Pulau Pinang yang berlaku malam tadi menyebabkan 21 penumpang feri dilaporkan cedera.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, kejadian tersebut berlaku ketika kapal MV Mekar Jaya sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), kira-kira pukul 8.40 malam.
Insiden pelanggaran berlaku ketika feri berkenaan sedang dalam perjalanan ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).
“Setakat maklumat awal yang diterima, seramai 21 orang dilaporkan cedera dan kesemua penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Beliau memberitahu, tiada lagi mangsa berada di PSAH selepas kesemua penumpang yang tercedera dibawa mendapatkan rawatan.
Operasi perkhidmatan feri dilaporkan berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden tersebut.
“SPPP bersama-sama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan tindakan susulan yang diperlukan dapat dilaksanakan berkaitan penumpang terlibat serta keselamatan,” tambahnya.