MOF: Bukan bajet kena sekat, rupanya KKDW terlebih belanja

Perbelanjaan projek jalan luar bandar didapati melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sejak beberapa tahun lalu, sehingga menyebabkan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), keadaan itu berlaku apabila KKDW membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek-projek jalan luar bandar.

Dalam kenyataan hari ini, MoF berkata tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap peruntukan KKDW berhubung jalan luar bandar, malah peruntukan tersebut telah disalurkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berlaku kerana peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya.

Angka yang dikemukakan MoF menunjukkan perbezaan ketara antara peruntukan diluluskan dengan perbelanjaan sebenar sejak 2023.

TahunPeruntukan diluluskanPerbelanjaan sebenar
2022RM1.1 bilionRM1.1 bilion
2023RM1.1 bilionRM1.8 bilion
2024RM1.3 bilionRM2.0 bilion
2025RM1.6 bilionRM2.3 bilion
2026*RM2.1 bilionRM1.9 bilion

*Perbelanjaan sehingga Jun 2026.

Dengan kata lain, pada 2025 sahaja perbelanjaan sebenar mencecah RM2.3 bilion, berbanding RM1.6 bilion yang diperuntukkan perbezaan sekitar RM700 juta.

Pada 2024 pula, KKDW membelanjakan RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala pada 2023 perbelanjaan RM1.8 bilion berbanding RM1.1 bilion yang diluluskan.

MoF berkata pihaknya kini bekerjasama dengan KKDW untuk menangani isu berkenaan, termasuk menyusun semula peruntukan KKDW berdasarkan keutamaan.

Bagi 2026, MoF setakat ini telah meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Pada masa sama, kementerian itu sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi membantu menampung lebihan komitmen yang dibuat KKDW.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, hari ini.

Isunya bukan peruntukan disekat angka MoF menunjukkan komitmen dan perbelanjaan KKDW sebelum ini melepasi jumlah yang diperuntukkan.

BACA JUGA Terkini bekas menteri ditahan SPRM hadir ke mahkamah dengan baju jingga, tangan bergari