RCI Tabung Haji: Lepas tahan, SPRM kini nak dakwa beberapa individu

Selepas beberapa individu ditahan dan direman bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini bakal membawa sebahagian daripada mereka ke mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, beberapa individu yang sebelum ini ditahan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata pertuduhan itu membabitkan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan berkaitan pelaburan Lembaga TH dalam TH Marine, TH Alam dan TH Alam Management, dengan jumlah pelaburan keseluruhan mencecah RM334.2 juta.

Satu lagi pertuduhan pula, katanya, berkaitan dakwaan rasuah membabitkan pemilikan 30 peratus saham Lembaga TH dalam syarikat pembinaan Putrajaya Perdana Berhad.

“Bila kes didaftarkan nanti, barulah kita tahu secara terperinci. Pada ketika ini, saya tidak boleh nyatakan lebih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu.

Perkembangan itu berlaku kira-kira sebulan selepas laporan RCI TH dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 29 Julai. Laporan berkenaan meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain menggariskan 25 syor penambahbaikan.

Tidak lama selepas pendedahan itu, SPRM mula mengambil tindakan susulan dengan menahan tujuh individu pada 15 Ogos, terdiri daripada seorang CEO, seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Antara isu yang disiasat ketika itu termasuk dakwaan berkaitan dokumen palsu, pelaburan serta urusan pajakan hotel, dengan SPRM turut menjalankan pemeriksaan dan memanggil saksi bagi membantu siasatan.

Kemudian pada 26 Ogos, bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut ditahan sebelum direman tujuh hari bagi membantu siasatan susulan laporan RCI berkenaan. Kedua-duanya bagaimanapun dibebaskan daripada tahanan reman pada 1 September selepas keterangan mereka dilengkapkan.

Perkembangan terbaru menyaksikan siasatan itu memasuki fasa pendakwaan, dengan beberapa individu yang telah disiasat bakal berdepan pertuduhan di dua mahkamah berasingan minggu ini.

Pada masa sama, siasatan SPRM terhadap isu-isu lain yang dibangkitkan dalam laporan RCI masih berjalan. Kerajaan sebelum ini memutuskan siasatan penuh oleh badan penguat kuasa diteruskan serta-merta selepas laporan itu didedahkan.

Laporan RCI tersebut turut merekodkan pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH serta menyebut kewujudan transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat, selain mencadangkan tindakan lanjut termasuk audit forensik terhadap beberapa pelaburan bermasalah.

BACA JUGA MOF: Bukan bajet kena sekat, rupanya KKDW terlebih belanja