Tak tunggu lama, PM Anwar setuju tukar pembekal Baja 3 pesawah MADA
Masalah kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bakal diselesaikan segera selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan supaya baki pembekalan dikendalikan pihak baharu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penghantaran baki bekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas dijadualkan bermula esok.
Menurut beliau, keseluruhan proses penghantaran itu disasarkan dapat diselesaikan dalam tempoh 10 hari bagi memastikan keperluan pesawah tidak terus terjejas.
Mohamad berkata, pada 27 Ogos lalu beliau telah mengemukakan surat kepada Anwar yang juga Menteri Kewangan untuk memohon supaya perkhidmatan Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. bagi pembekalan berkenaan ditamatkan susulan kelewatan yang berlaku.
Pada masa sama, beliau mencadangkan Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd., anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), diberikan tanggungjawab menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah terbabit.
“Sukacita dimaklumkan bahawa YAB Perdana Menteri telah bersetuju dengan permohonan tersebut.
“Sehubungan itu, penghantaran baki Baja 3 kepada pesawah yang terjejas akan bermula pada 3 September 2026 dan keseluruhan proses penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Mohamad turut mengarahkan MADA supaya memantau proses penghantaran secara rapi sehingga bekalan berkenaan benar-benar diterima pesawah.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh membenarkan kelewatan sama berulang kerana bekalan baja merupakan antara keperluan asas pengeluaran padi selain mempunyai kaitan langsung dengan sumber pendapatan pesawah.
“Tiada ruang untuk kelewatan berulang apabila ia melibatkan keperluan asas pengeluaran padi dan sumber pendapatan pesawah.
“KPKM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan kepentingan pesawah dan kelancaran sektor pengeluaran makanan negara,” tegas beliau lagi.
BACA JUGA MOF: Bukan bajet kena sekat, rupanya KKDW terlebih belanja