Jomo : Dolar AS mula ditinggalkan dunia? Dasar Trump buat dominasi makin retak
Kedudukan dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang rizab utama dunia masih kukuh, namun pengaruhnya menunjukkan tanda-tanda semakin terhakis selepas beberapa dekad menjadi tunjang sistem kewangan antarabangsa.
Perkembangan itu dilihat semakin ketara apabila bahagian dolar dalam rizab pertukaran asing bank pusat dunia terus menurun, sementara dasar ekonomi dan geopolitik Washington sejak kebelakangan ini mendorong lebih banyak negara mencari pilihan lain.
Dalam analisisnya, pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram berkata proses penyahdolarisasi atau de-dollarisation sebenarnya bukan fenomena baharu, tetapi beberapa tindakan AS sejak kebelakangan ini berpotensi mempercepatkan perubahan tersebut.
Beliau berkata pada 2000, dolar membentuk kira-kira 70 peratus daripada rizab pertukaran asing dunia, namun angka itu susut kepada kurang 60 peratus pada 2021 dan terus menurun kepada bawah 58 peratus pada awal 2025.
Bagaimanapun, dolar masih mendominasi sebahagian besar urus niaga kewangan global. Sekitar 90 peratus transaksi pasaran pertukaran asing masih melibatkan dolar, manakala mata wang itu digunakan untuk menetapkan harga kira-kira dua perlima perdagangan antarabangsa.
Kedudukan tersebut berakar daripada sistem Bretton Woods yang dibentuk pada 1944 apabila dolar dipautkan kepada emas, sementara mata wang negara lain pula dipasakkan kepada dolar pada kadar pertukaran tertentu.
Sistem itu memberikan dolar kelebihan besar kerana permintaan antarabangsa terhadap aset berdenominasi dolar membolehkan kerajaan dan syarikat AS mendapatkan pembiayaan pada kos yang relatif lebih rendah.
Namun, struktur ekonomi AS sendiri telah berubah dengan ketara sejak era pasca Perang Dunia Kedua.
Bahagian ekonomi AS dalam keluaran dunia berdasarkan pariti kuasa beli (PPP) kini kurang daripada 15 peratus, berbanding kira-kira satu perempat selepas Perang Dunia Kedua. Dalam tempoh sama, ekonomi AS menjadi semakin berorientasikan kewangan dan kurang bergantung kepada sektor pembuatan.
Euro, renminbi belum mampu atasi dollar
Menurut Jomo, dasar pentadbiran Presiden Donald Trump turut menambah kebimbangan negara dan pelabur asing terhadap pergantungan kepada aset berdenominasi dolar, khususnya susulan tarif, sekatan ekonomi dan tindakan geopolitik Washington.
Kesan terhadap keyakinan pasaran turut dapat dilihat apabila dolar susut lebih 10 peratus berbanding beberapa mata wang utama dalam separuh pertama penggal kedua Trump, iaitu kejatuhan terbesar sejak krisis minyak OPEC pada 1973.
Ahli ekonomi kewangan antarabangsa Barry Eichengreen sebelum ini menjangkakan kemerosotan dominasi dolar berlaku secara perlahan, menuju sistem rizab dunia yang lebih seimbang dengan beberapa mata wang utama.
Namun, beliau kini memberi amaran bahawa proses tersebut mungkin menjadi lebih pantas susulan perubahan dasar AS, walaupun dolar masih belum mempunyai pengganti yang benar-benar mampu mengambil alih kedudukannya.
Eichengreen berpandangan euro dan renminbi China masih belum mempunyai keupayaan atau kemahuan untuk menggantikan dolar sepenuhnya, manakala mata wang kripto pula belum berfungsi sebagai mata wang utama dalam sistem kewangan antarabangsa.
Justeru, cabaran terbesar terhadap dolar buat masa ini bukanlah kemunculan satu mata wang yang akan menggantikannya, sebaliknya peralihan perlahan daripada sistem yang terlalu bergantung kepada dolar kepada sistem kewangan dunia yang lebih berbilang mata wang.
BACA JUGA Tak tunggu lama, PM Anwar setuju tukar pembekal Baja 3 pesawah MADA