Kalau pencuri tabung masjid, tak perlu RCI – Hasbie: Isu Tabung Haji bersifat sistemik

Krisis pengurusan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 perlu dilihat secara menyeluruh kerana persoalan yang timbul bukan sekadar mengenai kerugian pelaburan, sebaliknya kemungkinan wujud kelemahan atau salah laku yang bersifat sistemik.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Senator Muhammad Hasbi Muda berkata, perkara itu menjadi antara sebab Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diperlukan bagi meneliti sama ada kerugian pelaburan TH berpunca daripada kelemahan panel pelaburan atau terdapat unsur lain di sebaliknya.

Menurutnya, kerugian dalam aktiviti pelaburan tidak semestinya bermaksud berlakunya jenayah, namun jumlah pelaburan bermasalah yang dibangkitkan memerlukan penelitian lebih mendalam.

“Kerugian itu kita boleh lihat daripada hasil siasatan itu, adakah kerugian itu memang kelemahan panel pelaburan ataupun ada sesuatu yang tak kena di sebaliknya.

“Kalau kesalahan itu straightforward macam pencuri tabung masjid, kita tak perlu kepada RCI… tetapi dalam kes Tabung Haji ini, dia sistemik. Dia suatu salah laku ataupun penyelewengan yang sukar ditentukan dengan cara yang biasa. Jadi itu kita perlu kepada RCI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program bual bicara terbitan sebuah stesen televisyen tempatan, baru-baru ini, yang turut menampilkan pakar ekonomi Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Hasbie berkata daripada 14 pelaburan yang dicadangkan untuk menjalani audit forensik, separuh daripadanya mengalami kerugian 100 peratus, selain mendakwa kedudukan TH antara 2014 hingga 2018 menyaksikan liabiliti melebihi aset.

Dalam pada itu, beliau berkata istilah “sakau” juga tidak seharusnya difahami hanya sebagai perbuatan mengambil wang atau harta untuk kepentingan diri secara tidak sah.

Sebaliknya, katanya, ia boleh dilihat dalam konteks yang lebih luas termasuk memperoleh manfaat melalui jawatan, kenaikan pangkat atau keuntungan lain dengan cara yang salah, selain tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa.

Kenyataan Hasbie itu hadir ketika Laporan RCI mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 menjadi perhatian selepas kerajaan membentangkan dapatan berhubung kelemahan tadbir urus, pengurusan kewangan dan pelaburan institusi berkenaan.

Kerajaan MADANI sebelum ini menegaskan proses pemulihan TH telah dilakukan sejak 2018 bagi menangani masalah kewangan yang diwarisi, dengan kerajaan menyifatkan kerugian lalu akibat salah urus kewangan dan pelaburan sebagai kos yang akhirnya ditanggung bersama oleh kerajaan, pembayar cukai dan pendeposit.

Perkembangan itu juga memberi konteks kepada pendekatan kerajaan ketika ini yang menekankan pengukuhan tadbir urus dan akauntabiliti TH, berbanding sekadar memastikan institusi berkenaan terus mengumumkan kadar hibah yang tinggi.

Dalam masa sama, isu hibah yang telah diterima pendeposit bagi tempoh terdahulu turut mendapat penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang mengesahkan wang hibah tersebut sah menjadi hak milik pendeposit selepas akad hibah sempurna.

Justeru, fokus RCI menurut Hasbie bukan untuk menghukum kerugian pelaburan semata-mata, tetapi menentukan sama ada terdapat sesuatu yang tidak kena di sebalik keputusan dan pengurusan pelaburan TH ketika tempoh berkenaan.

BACA JUGA RCI Tabung Haji: Lepas tahan, SPRM kini nak dakwa beberapa individu