BN mahu PRU-16 disegerakan

Umno dan Barisan Nasional (BN) berpendapat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) lebih baik diadakan lebih awal, sebelum penggal Parlimen semasa menghampiri tempoh akhirnya pada hujung tahun depan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan Persekutuan memperoleh mandat baharu secara langsung daripada rakyat.

“Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh.

“Tetapi andainya jika penggal ini sehingga penghujung tempoh atau jeda waktunya, maka kita juga bersedia menghadapinya,” katanya yang juga Presiden Umno dalam temu bual eksklusif bersama Media Prima Berhad (MPB).

Menurutnya, Umno dan BN bagaimanapun perlu memanfaatkan tempoh yang masih berbaki untuk memperkukuh persediaan menghadapi pilihan raya.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu penting bagi memastikan Umno dan BN terus relevan dalam menghadapi perubahan landskap serta geopolitik semasa.

Penggal Parlimen ke-15 dijadual berakhir sekitar Disember tahun depan, manakala pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh yang ditetapkan selepas pembubaran Parlimen.

Pada masa ini, komposisi semasa 222 kerusi Dewan Rakyat menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menguasai 76 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30 dan Perikatan Nasional (PN) 68 kerusi.

Selain itu, GPS memiliki 23 kerusi, GRS (7), Warisan (3), KDM (2) dan Bebas tujuh kerusi manakala STAR, PBM dan Muda masing-masing satu kerusi.

Sementara itu, tiga kerusi masih kosong iaitu Pandan, Setiawangsa dan Subang.

BACA JUGA SPRM buka semula fail lama, VIP mungkin dipanggil satu demi satu