Ulama Pas mahu ubah imej ‘parti pak lebai’ kepada parti lahirkan negarawan

Kalau sebelum ini Pas sering dikaitkan dengan imej ‘parti pak lebai’, kini Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) mahu parti itu tampil sebagai sebuah parti yang mampu melahirkan negarawan.

Ketuanya, Ahmad Yahaya berkata, Pas perlu mula menyediakan barisan negarawan yang bakal memimpin negara pada suatu masa nanti.

Menurutnya, perkara itu perlu mula difikirkan sebagai sebahagian daripada visi dan misi Pas untuk berdepan situasi politik semasa.

“Dalam menghadapi situasi politik semasa pada hari ini, maka Pas tidak lagi sekadar sebuah ‘parti pak lebai’ semata-mata, tetapi harus membuat anjakan paradigma kepada sebuah parti yang melahirkan negarawan yang berjasa,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena muktamar sayap Pas itu hari ini.

Label ‘parti pak lebai’ bukan sesuatu yang asing dalam politik Pas. Parti itu sering disindir dengan gelaran berkenaan, terutama apabila pendekatan mereka dilihat agak tidak seimbang dan berat sebelah.

Malah, kritikan terhadap Pas juga sering berkisar kepada persoalan kemampuan memerintah, apabila hujah agama dilihat lebih banyak diketengahkan berbanding soal bagaimana sesuatu dasar atau pentadbiran hendak dilaksanakan.

Kenyataan Ahmad itu menarik perhatian kerana istilah ‘parti pak lebai’ kali ini bukan datang daripada lawan politik Pas, sebaliknya disebut sendiri oleh pimpinan sayap ulama parti tersebut.