Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Dasuki untuk tauliah mengajar di Selangor

Usaha terakhir bekas pemimpin Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani, untuk mendapatkan semula atau melanjutkan tauliah mengajar agama di Selangor berakhir apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonannya untuk membawa kes itu ke peringkat rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Nordin Hassan menolak permohonan Dusuki untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Memetik laporan FMT, Nordin yang bersidang bersama Hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Ravinthran Paramaguru berkata tiga persoalan undang-undang yang dikemukakan Dusuki tidak memenuhi ambang ditetapkan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Menurut beliau, persoalan berkenaan lebih berasaskan fakta dan tidak membangkitkan isu yang mempunyai kepentingan awam.

Bagaimanapun, panel berkenaan tidak memerintahkan Dusuki, yang juga bekas anggota jawatankuasa Dewan Ulama Pas Selangor, membayar kos kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jawatankuasa Tauliah negeri.

Dusuki diwakili Jamil Yaacob dan Ashok K Raman, manakala Arham Rahimy Hariri mewakili pihak responden.

Keputusan hari ini menyusuli penghakiman Mahkamah Rayuan pada 26 Feb yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan Dusuki.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Zaini Mazlan ketika itu memutuskan mahkamah tidak boleh menggantikan keputusan pihak berkuasa awam dengan keputusan mereka sendiri dalam perkara yang melibatkan kuasa budi bicara.

Zaini berkata Dusuki juga gagal mengenal pasti mana-mana peruntukan undang-undang yang mewajibkan majlis berkenaan mengembalikan tauliah yang telah tamat tempoh.

Menurutnya, Dusuki tidak berjaya membuktikan bahawa beliau mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mendapatkan pembaharuan tauliah secara automatik.

Mahkamah turut berpandangan perintah mandamus yang dipohon Dusuki pada asasnya akan membolehkannya mendapatkan lanjutan tauliah tanpa perlu membuat permohonan baharu.

Zaini berkata Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan yang membolehkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Dusuki sebelum ini diberikan tauliah untuk mengajar agama di Selangor oleh pihak berkuasa agama negeri.

Bagaimanapun, tauliahnya ditarik balik pada 3 Mac 2022, walaupun tempoh sah tauliah tersebut hanya akan berakhir pada 30 Jun 2023.

Susulan penarikan itu, Dusuki memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mencabar keputusan berkenaan.

Beliau turut memohon supaya mahkamah mengarahkan pihak responden melanjutkan tauliahnya selepas tarikh tamat yang ditetapkan.

Selain itu, Dusuki menuntut ganti rugi serta pengisytiharan bahawa pihak berkuasa agama tidak boleh menghalangnya daripada mengajar agama di Selangor atas alasan penglibatannya dalam politik.

Pada 5 Okt 2023, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan penarikan balik tauliah tersebut dan memutuskan tindakan berkenaan tidak sah serta terbatal.

Namun, kemenangan itu tidak membawa kepada pengembalian tauliah secara berterusan.

Mahkamah Tinggi enggan melanjutkan tauliah selepas tarikh tamat yang ditetapkan dan turut tidak memberikan pengisytiharan seperti yang dipohon Dusuki.

Keputusan itu kemudian membawa kepada rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum usaha terakhirnya diteruskan di Mahkamah Persekutuan.

Dengan keputusan hari ini, laluan Dusuki untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung isu lanjutan tauliah tersebut berakhir di Mahkamah Persekutuan.

BACA JUGA Nak tahu OPR kekal atau berubah? Bursa dah beri petunjuk awal