Simpati jangan sampai lupa sejarah, kisah Mahathir ‘cancel’ pemimpin negara
Memang tidak wajar seorang bekas Perdana Menteri dihina atau dilayan tanpa penghormatan, apatah lagi apabila usianya sudah lanjut.
Namun dalam politik, rasa simpati tidak seharusnya menyebabkan sejarah dilupakan atau dinilai secara terpilih.
Apabila perjalanan politik Tun Dr Mahathir Mohamad diselak kembali, beliau sendiri pernah menjadi antara pengkritik paling keras terhadap pemimpin yang mendahuluinya.
Pada 1969, Mahathir menulis surat terbuka yang mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman selepas Pilihan Raya Umum tahun tersebut.
Kritikan itu bukan sekadar menyentuh dasar kerajaan, malah Mahathir turut mendesak Bapa Kemerdekaan itu berundur sebagai Perdana Menteri.
Hubungan politik mereka terus tegang selepas Mahathir sendiri berada di puncak kekuasaan. Selepas krisis Umno pada 1988 dan penubuhan Umno Baru, Tunku bersama bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, memilih untuk tidak menyertai parti baharu pimpinan Mahathir.
Namun episod yang paling kuat kekal dalam ingatan politik negara tentunya peristiwa 1998.
Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selepas hubungannya dengan Mahathir semakin meruncing.
Anwar kemudiannya ditangkap di kediamannya sebelum dipukul ketika berada dalam tahanan sehingga muncul di mahkamah dengan mata lebam.
Lebih dua dekad kemudian, keadaan politik berubah sepenuhnya.
Anwar kini menjadi Perdana Menteri, sementara Mahathir sudah lama meninggalkan Putrajaya.
Walaupun sejarah hubungan kedua-duanya cukup pahit, Anwar masih pernah mengucapkan selamat hari lahir kepada bekas mentornya itu, manakala kemudahan tertentu sebagai bekas Perdana Menteri terus menjadi sebahagian daripada layanan negara terhadap negarawan terdahulu.
Justeru, apabila melihat seorang negarawan yang sudah berusia lanjut berdepan kritikan atau tekanan politik, sudah tentu ada yang berasa simpati. Itu sifat manusia dan tidak ada yang salah dengannya.
Tetapi simpati tidak boleh menyebabkan masyarakat hilang ingatan terhadap sejarah.
Mahathir sendiri melalui perjalanan politik yang panjang, daripada mencabar pemimpin sebelumnya, berdepan tentangan selepas berkuasa, sehinggalah akhirnya menyaksikan bekas timbalannya menjadi Perdana Menteri.
Sejarah itu meninggalkan satu pengajaran yang sederhana tetapi besar: kuasa tidak pernah kekal selama-lamanya.
Cara seseorang melayan orang lain ketika berada di puncak kekuasaan akan terus diingati apabila suatu hari kedudukan itu bertukar tangan.