MHO gesa JPN nilai permohonan MyPR ikut kes, bukan status ibu bapa semata-mata

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Penasihat Undang-Undang MHO Muhammad Falaq Adnan serta May Eva Sofea Zainal Abidin mengenai status bapa jadi halangan stateless di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Presint 2, Putrajaya. 3hb September 2026 (Khamis)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menilai setiap permohonan status penduduk tetap (MyPR) berdasarkan latar belakang dan rekod individu, bukan semata-mata status dokumentasi ibu atau bapa. Penasihat Undang-Undang MHO, Muhammad Falaq Adnan berkata, gesaan itu dibuat susulan permohonan MyPR seorang wanita dikenali sebagai Puan Intan yang ditolak pada awal Januari lalu, dipercayai atas alasan bapanya merupakan pemegang IMM13 Sabah.

Menurutnya, Intan dilahirkan di Semporna, Sabah pada 1978, mendapat pendidikan di negara ini dan telah memegang MyKAS sejak 1996 dengan beberapa kali pembaharuan sepanjang kira-kira 30 tahun. Beliau berkata, Intan turut mempunyai rekod pekerjaan yang panjang termasuk bekerja lebih 16 tahun dalam sektor minyak dan gas sebagai Fireman Watch, selain mempunyai akaun bank serta mengikuti latihan berkaitan pekerjaannya. Bagaimanapun, status MyKAS yang bersifat sementara menyebabkan Intan terus berdepan kekangan termasuk berkaitan caruman KWSP, bantuan kerajaan, rawatan kesihatan serta urusan perjalanan.

Panel peguam MHO, May Eva Sofea Zainal Abidin berkata, kes berkenaan menunjukkan perlunya JPN membuat penilaian secara “kes demi kes” dengan mengambil kira keseluruhan perjalanan hidup pemohon. “Setiap permohonan dokumentasi, tidak kira MyPR ataupun MyKAS, perlu dipertimbangkan berdasarkan fakta kes, latar belakang, rekod dan sejarah, bukan hanya semata-mata status ibu atau bapa pemohon,” katanya pada sidang media di hadapan JPN Putrajaya, hari ini.

Menurut Eva, Intan sebelum ini turut bersekolah sehingga Tingkatan Lima namun tidak dapat menduduki SPM kerana kekangan dokumentasi, sebelum berhijrah untuk bekerja dan membina kehidupan sendiri tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.

MHO berkata pihaknya akan menyerahkan representasi dan rayuan rasmi kepada JPN bagi mendapatkan penjelasan bertulis mengenai asas, prosedur serta peruntukan yang digunakan dalam penolakan permohonan MyPR tersebut. Pertubuhan itu turut berharap satu garis panduan lebih jelas dapat diwujudkan untuk pemegang MyKAS jangka panjang supaya individu yang telah lahir, membesar, belajar dan bekerja di Malaysia tidak terus berada dalam keadaan tidak menentu dari segi status dan akses kepada perlindungan