‘Kalau saya tak faham, KSP pun tak faham asas kewangan kerajaan ke?’ – Kamil bidas Akmal

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mendakwa beliau tidak memahami asas kewangan kerajaan.

Kamil berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana pandangannya dibuat berdasarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan (MOF), termasuk penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Johan Mahmood Merican.

“Akmal kata saya tak faham asas kewangan kerajaan. Tak mengapa. Tapi ada sedikit masalah dengan rumusan itu. 

“Sama ada malas membaca kenyataan rasmi Kementerian Kewangan atau ada masalah penguasaan Bahasa Melayu yang lemah. Kenyataan yang saya rujuk itu bukan saya petik sebarangan,” katanya.

Menurut Kamil, kenyataan KSP menjelaskan tiada sekatan terhadap peruntukan projek jalan luar bandar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), sebaliknya peruntukan telah disalurkan sepenuhnya.

Kekangan pembayaran kepada kontraktor berlaku apabila peruntukan tahun semasa hampir habis dibelanjakan.

Beliau turut memetik angka MOF yang menunjukkan peruntukan dan perbelanjaan bagi projek berkenaan bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

“2023 — RM1.1 bilion diperuntukkan, RM1.8 bilion dibelanjakan.

“2024 — RM1.3 bilion diperuntukkan, RM2.0 bilion dibelanjakan.

“2025 — RM1.6 bilion diperuntukkan, RM2.3 bilion dibelanjakan,” katanya.

Kamil kemudian mempersoalkan sama ada Akmal turut menganggap KSP tidak memahami asas kewangan kerajaan sekiranya penjelasan beliau berdasarkan kenyataan rasmi itu masih dipertikaikan.

“Jika kenyataan saya berdasarkan penjelasan KSP dianggap sebagai ‘tak faham asas kewangan kerajaan’, persoalan saya, adakah Akmal juga mengatakan KSP tidak faham asas kewangan kerajaan?” katanya.

Kamil berkata beliau mengenali Johan sebagai penjawat awam kanan di Kementerian Kewangan yang cekap dan teliti serta lebih arif dalam urusan pentadbiran kewangan negara berbanding “Tuan Kassim Patalon”.

Beliau juga menegaskan tidak pernah satu sen pun beliau mempertikaikan peruntukan untuk membina jalan bagi rakyat luar bandar kerana mereka berhak mendapat pembangunan.

“Namun pembangunan yang diperlukan rakyat dan disiplin mengurus wang rakyat bukan dua perkara yang bercanggah,” katanya.

Kamil turut mengaitkan persoalan tatacara kewangan dengan isu pengurusan institusi seperti Tabung Haji dan Felda sebelum ini serta skandal 1MDB.

“Jika begini cara mereka mentadbir dan mengurus tatacara kewangan, maka tidak hairan bila mana institusi seperti Tabung Haji dan Felda sebelum ini hampir melingkup. Apatah lagi terlibat dalam skandal gergasi seperti 1MDB,” katanya.