Lembu hibrid ‘sado’ 1.2 tan curi perhatian pengunjung MAHA 2026

FOTO BERITA: Pameran lembu hibrid ‘sado’ seberat sehingga 1.2 tan menjadi antara tarikan utama pengunjung di segmen Smart Farming dan Teknologi Penternakan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, Serdang.

Pengarah Bahagian Pembangunan Genetik dan Teknologi Penternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Dr. Yuslan Sanudin berkata, pameran berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian Laman Veterinar yang mengetengahkan perkembangan industri penternakan moden negara.

Menurutnya, Laman Veterinar menghimpunkan tujuh komponen utama termasuk Smart Farming dan Teknologi Penternakan, Livestock Industry Ready (LIR), Trade Fair, Agro Food Rally, pameran ayam dan haiwan eksotik serta Galeria Veterina.

Namun, antara yang paling mencuri perhatian pengunjung ialah lembu hibrid ‘sado’ yang mempunyai saiz badan besar dan struktur otot lebih ketara berbanding lembu biasa.

“Pada kali ini kita turut membawa lembu sado dengan berat kira-kira 1.2 tan yang dimiliki oleh penternak dan ia menjadi antara pameran istimewa kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui di MAHA 2026.

Dr. Yuslan berkata, sebahagian besar benih atau semen baka lembu hibrid yang digunakan penternak tempatan dihasilkan DVS melalui Institut Veterinar Malaysia di Jerantut sebelum diedarkan kepada penternak, selain terdapat juga benih yang diimport dari luar negara.

Katanya, penternakan lembu sado mempunyai potensi untuk dikembangkan dengan lebih meluas kerana peratusan karkas atau hasil dagingnya mampu mencapai sekitar 60 peratus, berbanding kira-kira 40 peratus bagi lembu biasa.

Walaupun jumlah penternaknya masih tidak begitu ramai, baka berkenaan sudah mempunyai peminat tersendiri khususnya di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu, malah terdapat penternak yang menjaganya seperti haiwan kesayangan.

Penjagaan lembu berkenaan juga lebih teliti dengan pemakanan tertentu, rutin mandi serta latihan berjalan bagi memastikan kesihatan dan keadaan fizikal ternakan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Selain pameran ternakan, Laman Veterinar turut menghimpunkan pemain industri, usahawan produk daging dan tenusu serta pembekal peralatan penternakan, selain pameran pelbagai haiwan termasuk ayam, landak, unta dan burung eksotik.

Dalam pada itu, DVS turut menyediakan Klinik Veterinar Bergerak di tapak MAHA bagi memudahkan penternak mendapatkan khidmat berkaitan pendaftaran, permit serta rawatan segera sekiranya ternakan mengalami kecederaan sepanjang pameran berlangsung.

Dr. Yuslan berkata, kemudahan sedemikian juga disediakan di beberapa negeri termasuk Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang sebagai sebahagian usaha jabatan memperluaskan perkhidmatan veterinar kepada komuniti penternak.