BN mahu PRU16 awal, Anwar pilih urus rakyat dan bersihkan rasuah dulu
Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk terus memberi tumpuan kepada urusan rakyat dan usaha membersihkan negara daripada rasuah serta salah guna kuasa, meskipun Barisan Nasional (BN) mahu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, gabungan berkenaan terbuka terhadap cadangan mempercepatkan PRU16 daripada tempoh penggal semasa yang dijadual berakhir pada Februari 2028.
Namun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan ketika ini masih stabil dan mempunyai mandat untuk mentadbir.
Justeru, Perdana Menteri berkata, keutamaan perlu diberikan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh tadbir urus negara.
Menurutnya, pembubaran Dewan Rakyat berada di bawah prerogatifnya dan sebarang cadangan mengenainya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim apabila tiba masanya.
“Bagi saya fokus ini yang penting. Tambahan, kerajaan ketika ini masih stabil. Jadi, kita tumpu yang ini terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat dan solat sunat jenazah di Masjid Bukit Indah, Ampang, hari ini.
Tidak berganjak
Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa kerajaan juga tidak akan berganjak daripada usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Usaha tersebut melalui tindakan agensi penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Jangan gusar, orang yang amanah dan bersih, tidak harus takut dengan langkah diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia atau Lembaga Hasil Dalam Negeri. Kita tak boleh terus biarkan keadaan sekarang,” ujarnya.
Anwar turut mengakui menerima beberapa tekanan dan cadangan berhubung hala tuju politik kerajaan, namun menegaskan mandat yang diterima perlu digunakan untuk mentadbir negara dengan baik.
“Saya tahu kerana saya pun ada hadapi beberapa tekanan dan cadangan, tetapi saya ambil keputusan seperti disampaikan pada mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin, iaitu kita dapat mandat mentadbir, urus dengan baik, bersihkan negara daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan PRU16 diadakan lebih awal daripada tarikh terbubar sendiri.
BACA JUGA Lembu hibrid ‘sado’ 1.2 tan curi perhatian pengunjung MAHA 2026