Agrobank, BHPetrol buka jalan usahawan luar bandar miliki stesen minyak

FOTO BERITA: Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara AGROBANK & BHPETROL disaksikan oleh YB Datuk Chan Foong Hin
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan A, MAEPS Serdang Selangor. 5hb September 2026 (Sabtu)

Agrobank dan BHPetrol memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan peluang pembiayaan serta pembangunan keusahawanan kepada pengusaha stesen minyak, khususnya di kawasan luar bandar dan pertanian. MoU yang dimeterai di Dewan A, MAEPS Serdang, hari ini disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, kerjasama strategik itu antara lain memberi tumpuan kepada pembiayaan bagi pengusaha stesen BHPetrol sedia ada untuk menambah modal pusingan dan mengembangkan perniagaan. Menurutnya, pembiayaan khusus turut disediakan kepada usahawan baharu yang mahu menceburi bidang peruncitan minyak dengan membuka stesen BHPetrol, terutama di kawasan luar bandar dan pertanian.

Beliau berkata, BHPetrol kini mempunyai 425 stesen minyak di seluruh Malaysia dan merancang membangunkan kira-kira 15 hingga 20 stesen baharu setiap tahun. “Untuk 425 usahawan stesen minyak yang sedia ada, kami akan menyediakan dana pembiayaan untuk mereka menambahkan modal seperti modal pusingan dan memperbesarkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Selain pembiayaan, Agrobank akan bekerjasama dengan BHPetrol dalam aspek pembangunan keusahawanan termasuk latihan pengurusan kewangan, pemasaran dan pendigitalan proses perniagaan serta pembayaran. Tengku Ahmad Badli berkata, usaha berkenaan selari dengan mandat Agrobank untuk menyokong pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar, termasuk komuniti petani, penternak, peladang dan nelayan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Tuan Fardzi Shah Razali berkata, kerjasama berkenaan diharap dapat membuka sumber pendapatan tambahan kepada komuniti pertanian yang sebahagiannya bergantung kepada aktiviti ekonomi bermusim. Menurutnya, kos membuka sebuah stesen minyak boleh mencecah jutaan ringgit, justeru kemudahan pembiayaan daripada Agrobank mampu membantu mengurangkan beban kewangan mereka yang mahu menceburi sektor berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama itu boleh menjadi titik permulaan kepada peladang, penternak dan komuniti luar bandar untuk meneroka peluang baharu dalam sektor peruncitan minyak dan gas, sekali gus membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.