Takiyuddin kata memang betul sokong Pas masuk syurga

Sindiran yang selama ini dilemparkan terhadap Pas akhirnya diakui sendiri oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa menyertai dan memperjuangkan Pas sememangnya boleh membawa seseorang ke syurga.

Walaupun mengakui Pas ialah sekadar sebuah pertubuhan politik, Takiyuddin menegaskan wadah perjuangan mereka berteraskan Islam dan selaras dengan ajaran yang diperintahkan Allah.

“Kalau kita mati kerana berjuang mempertahankan Islam, tidak ada syak lagi, kita akan dianggap mati syahid dan kita akan diberikan ganjaran pahala, dan kita akan masuk syurga.

“Jadi dia (pihak lawan) kata pula (menyindir), masuk PAS ni masuk syurga…Yalah, masuk Pas (dan) terima Islam, berjuang di atas landasan Islam, nakkan Islam sama ada di dunia ataupun di akhirat.

“Masuk Pas cara itu, insya-Allah kita boleh masuk syurga apabila kita mati kelak. Itu pasti tuan-tuan dan puan-puan sekalian,” katanya memetik Malaysia kini.

Penegasan itu dibuat di hadapan lebih 500 penyokong pada ceramah perdana Sambutan Jubli Intan 75 tahun Pas sempena Muktamar Pas ke-75 di Kota Bharu, malam tadi.

PAS satu-satunya parti letak nama Islam

Takiyuddin berkata, perjuangan Pas yang membawa Islam menyebabkan parti itu turut mendapat sokongan alim ulama termasuk kebanyakan guru pondok.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, keahlian Pas kini melebihi sejuta orang di seluruh negara, selain sokongan daripada golongan bukan ahli dan dari luar negara.

Katanya, jika semua sokongan itu diambil kira, Pas boleh dikatakan mendapat dukungan antara tiga atau empat juta orang.