“Tak lingkup” bukan bukti TH sihat, Shahril persoal penerangan Irwan
Penjelasan bahawa Tabung Haji (TH) tidak tak mampu bayar hutang pada 2017 kerana masih mampu membayar dividen dilihat tidak menjawab persoalan lebih besar mengenai kedudukan aset dan tanggungan institusi itu ketika berdepan masalah kewangan.
Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, perbahasan mengenai status ketidakmampuan membayar hutang TH tidak seharusnya disempitkan kepada persoalan sama ada institusi itu masih mampu membayar hutang atau tidak.
Sebaliknya, katanya, istilah ketidakmampuan membayar hutang mempunyai lebih daripada satu pengertian, termasuk keadaan apabila jumlah tanggungan melebihi nilai aset yang dimiliki.
“Ketidakmampuan membayar hutang ini ada dua erti. Satu erti ialah anda tidak boleh bayar hutang kerana aliran tunai anda bermasalah. Tetapi satu lagi erti ialah apabila tanggungan anda lebih daripada aset anda.”
Shahril berkata, perkara itu bukan lagi sekadar perbezaan pendapat kerana dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menunjukkan tanggungan TH melebihi asetnya pada tempoh berkenaan.
“Dan itu adalah fakta yang telah dibentangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja. Dan sebelum Suruhanjaya Siasatan Diraja pun sudah jelas bahawa itulah akaun yang diaudit pada tahun tersebut yang membuktikan bahawa dari segi takrif, aset anda kurang daripada tanggungan anda, itu tidak boleh dinafikan.”
Kenyataan itu secara tidak langsung mengkritik pendekatan penerangan dalam Musyawarah Nasional yang menampilkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, yang menegaskan TH bukan tidak tak mampu membayar hutang pada 2017 kerana masih mampu memenuhi tanggungannya.
Irwan sebelum ini turut mempertahankan penggunaan kaedah Nilai Aset Boleh Direalisasikan (RAV) dengan alasan TH dan Jabatan Audit Negara menggunakan kaedah tersebut, manakala PricewaterhouseCoopers (PwC) menggunakan pendekatan nilai mengikut pasaran.
Namun bagi Shahril, mempertahankan RAV atas alasan ia mempunyai asas dari sudut perundangan tidak semestinya menjawab persoalan dari sudut tadbir urus dan moral.
Soal moral
Katanya, mungkin terdapat asas undang-undang bagi penggunaan RAV kerana Akta memberikan kuasa tertentu kepada Menteri, tetapi perkara itu masih boleh dipersoalkan dari sudut sama ada pendekatan tersebut merupakan tindakan yang wajar terhadap kepentingan jangka panjang TH.
“Mungkin dari segi undang-undang, kita lihat apa yang mahkamah akan katakan jika dalam siasatan kes-kes ini kembali kepada perkara itu. Tetapi dari segi moral, apa salahnya menyatakan bahawa kita memang bermain secara teknikal pada ketika itu atas masalah yang kita anggap lebih besar.”
Menurutnya, persoalan yang lebih penting ialah mengapa pendekatan berkenaan dipertahankan sedangkan matlamat ketika itu adalah memastikan hibah kepada pendeposit terus dapat diberikan.
“Kita mahu memberikan dividen kepada pencarum Tabung Haji. Kita mahu memberikan hibah. Dan kita rasa hibah itu penting. Kita mahu memberikan subsidi yang banyak. Kita rasa itu adalah tanggungjawab kita.”
Shahril berkata, apabila dilihat semula berdasarkan perkembangan selepas itu, keutamaan terhadap pemberian hibah pada sesuatu tahun mungkin perlu dinilai semula berbanding keperluan memastikan kelestarian kewangan TH untuk jangka panjang.
“Imbas kembali, mungkin kita silap dalam perkara itu kerana kelestarian Tabung Haji lebih penting daripada rasa sedap pada satu-satu tahun tertentu.”
Persoalan itu menjadi lebih ketara selepas TH sendiri memaklumkan bahawa berdasarkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja, institusi berkenaan sepatutnya merekodkan kerugian bersih kira-kira RM1.4 bilion pada 2017 jika piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) digunakan sepenuhnya, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan ketika itu.
TH juga menyatakan Suruhanjaya Siasatan Diraja berpandangan penggunaan RAV tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji berkaitan penilaian aset, manakala jurang defisit aset-tanggungan meningkat daripada RM352 juta pada 2014 kepada RM4.093 bilion pada 2017.
Dalam konteks itu, Shahril mempersoalkan mengapa penerangan mengenai isu TH masih tertumpu kepada mempertahankan bahawa institusi berkenaan “tidak lingkup”, sedangkan persoalan yang dibangkitkan Suruhanjaya Siasatan Diraja lebih luas, termasuk kaedah penilaian aset, pelaporan kewangan dan asas pemberian hibah.
Beliau berpandangan pendekatan yang lebih matang ialah mengakui jika terdapat keputusan masa lalu yang mungkin dibuat atas pertimbangan tertentu, termasuk keinginan memastikan pendeposit terus menerima hibah, tetapi pada masa sama mengakui bahawa kelestarian institusi sepatutnya menjadi keutamaan.
Shahril sebelum ini menyifatkan Umno sebagai terlepas peluang untuk tampil lebih matang dalam isu TH apabila parti itu memilih untuk mempertahankan pengurusan terdahulu berbanding mengakui kelemahan yang dibangkitkan Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Beliau berkata, penerimaan terhadap kelemahan lalu tidak semestinya bermaksud mengakui berlaku penyelewengan, sebaliknya boleh menjadi langkah untuk membina semula keyakinan terhadap institusi dan parti yang pernah bertanggungjawab terhadap pengurusannya.
Dalam isu ini, pertikaian akhirnya bukan sekadar sama ada TH pada 2017 “boleh bayar hutang” atau “tidak lingkup”, tetapi sama ada kedudukan kewangannya pada ketika itu benar-benar mencerminkan nilai aset dan tanggungan sebenar serta sama ada kaedah yang digunakan cukup kukuh untuk menjadi asas kepada pemberian hibah kepada pendeposit.