Menunggang agama terlalu kasar? Mufti Wilayah cadang istilah lebih tepat

Istilah “menunggang agama” tidak wajar digunakan secara berleluasa kerana boleh menggeneralisasikan golongan yang terlibat dalam kerja agama, termasuk ulama, pendakwah dan asatizah yang ikhlas memperjuangkan syiar Islam.

Sebaliknya, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, mencadangkan istilah “eksploitasi agama” digunakan kerana dianggap lebih tepat dan objektif dalam menggambarkan perbuatan menyalahgunakan agama demi kepentingan tertentu.

Menurut beliau, istilah “menunggang agama” mempunyai konotasi negatif, kasar dan cenderung membawa unsur sindiran serta tuduhan peribadi terhadap seseorang.

Katanya, penggunaan istilah agama secara bermudah-mudah perlu dielakkan kerana boleh membawa kepada kerosakan dari segi pemikiran dan amalan dalam kalangan masyarakat.

“Istilah ini tidak wajar untuk disebarkan dan digunakan secara berleluasa dalam kalangan awam kerana ia membawa kepada generalisasi terhadap semua golongan yang terlibat dalam agama tanpa membezakan antara mereka yang ikhlas dan tidak.”

Ahmad Fauwaz berkata, istilah “eksploitasi agama” pula lebih memberi tumpuan kepada perbuatan atau tindakan menyalahgunakan agama di luar batas yang wajar untuk kepentingan diri, bukannya melabel individu secara langsung.

Beliau berkata konsep berkenaan juga lebih jelas dalam menggambarkan hubungan antara pihak yang mengambil kesempatan dengan pihak yang dieksploitasi, termasuk orang awam yang mungkin tertipu atau diperdaya.

Menurutnya, al-Quran sendiri memberikan gambaran mengenai eksploitasi agama melalui kecaman terhadap sebahagian golongan agamawan yang mengambil harta manusia secara batil dan menghalang mereka daripada jalan Allah.

Beliau turut memetik Surah al-Taubah ayat 34 yang menyebut mengenai sebahagian pendita Yahudi dan Nasrani yang memakan harta manusia dengan cara yang salah serta menghalang manusia daripada jalan Allah.

Selain itu, Ahmad Fauwaz turut merujuk Surah al-Baqarah ayat 79 mengenai golongan yang mengubah kandungan kitab dan mendakwa ia daripada Allah bagi memperoleh keuntungan dunia yang sedikit.

Beliau berkata, Rasulullah SAW juga telah mengingatkan mengenai golongan yang menggunakan agama untuk mendapatkan habuan dunia, termasuk mereka yang menampilkan imej agama dan kelembutan di hadapan manusia tetapi menyimpan niat yang berbeza.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan bahawa eksploitasi agama sememangnya sesuatu yang dilarang, namun masyarakat perlu membezakan antara perbuatan tersebut dengan golongan yang benar-benar ikhlas menjalankan kerja agama.

Dalam kesimpulannya, Ahmad Fauwaz berkata istilah “menunggang agama” sudah digunakan melampaui apa yang sepatutnya sehingga boleh membentuk generalisasi yang tidak adil terhadap sesetengah golongan.

“Oleh itu, perlu untuk dijelaskan semula dengan istilah yang lebih tepat seperti eksploitasi dan manipulasi agama.”

Beliau pada masa sama menasihatkan umat Islam supaya tidak mudah memberikan kepercayaan, harta atau ketaatan secara membuta tuli kepada mana-mana individu yang menggunakan agama sebagai sandaran, sebaliknya menilai dengan lebih mendalam dan memastikan mereka yang terlibat dalam dakwah serta kerja agama sentiasa menjaga niat kerana Allah SWT.

BACA JUGA “Tak lingkup” bukan bukti TH sihat, Shahril persoal penerangan Irwan