Nafi dakwaan hubungan retak, Zahid kata “Saya duduk sebelah dia lah (Anwar)”
Spekulasi hubungan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semakin tegang sehingga didakwa menjejaskan perjalanan mesyuarat Kabinet dinafikan oleh Zahid.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hubungannya dengan Anwar kekal baik, malah mesyuarat Jemaah Menteri berjalan seperti biasa tanpa sebarang ketegangan seperti yang dilaporkan.
Katanya, dakwaan bahawa mesyuarat Kabinet terpaksa ditamatkan lebih awal juga tidak benar kerana mesyuarat berkenaan berakhir pada kira-kira jam 1 tengah hari.
“Saya duduk sebelah dia lah (Anwar), sebelah kanan Perdana Menteri. Kemudian di sebelah saya juga Anthony Loke, Menteri Pengangkutan,” katanya memetik laporan Mingguan Malaysia.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan sebuah portal berita antarabangsa yang mendakwa hubungan antara kedua-dua pemimpin tersebut semakin tegang, termasuk dakwaan berlaku ketegangan dalam mesyuarat Kabinet.
Spekulasi berkenaan turut dikaitkan dengan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bersaing dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri serta perkembangan mengenai hubungan Umno dengan parti pembangkang.
Bagaimanapun, Zahid menegaskan perkembangan politik di peringkat negeri tidak mengubah pendirian Umno dan BN untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Umno ini parti yang memegang janji, janji kita adalah berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal,” katanya.
Menurutnya, pendirian itu selaras dengan keputusan sebulat suara perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini yang menetapkan parti berkenaan kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
Dalam wawancara berasingan bersama Sinar Ahad, Zahid turut mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang di Bangkok.
Namun, beliau menafikan pertemuan itu mempunyai kaitan dengan usaha membentuk kerajaan baharu atau menjatuhkan pentadbiran sedia ada.
“Ya memang ada pertemuan di Bangkok, tetapi tidak pernah dibincangkan untuk menebuk atap, tidak pernah,” katanya.
Zahid menegaskan komitmen Umno untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal adalah pendirian yang tidak akan dikompromi, sekali gus menolak spekulasi bahawa parti itu akan meninggalkan kerajaan melalui gerakan ‘tebuk atap’.
“Yang penting pendirian Umno tetap kekal tidak akan tebuk atap,” tegasnya.
BACA JUGA Menunggang agama terlalu kasar? Mufti Wilayah cadang istilah lebih tepat