5.02 juta serbu MAHA 2026, berjaya pikat golongan belia
Sambutan luar biasa rakyat terhadap MAHA 2026 menyaksikan 5.02 juta pengunjung hadir sepanjang 10 hari penganjurannya di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), sekali gus melepasi sasaran awal empat juta pengunjung.
Lebih membanggakan, golongan belia mencatat kehadiran 2.01 juta orang, iaitu sekitar 40 peratus daripada keseluruhan pengunjung, jauh mengatasi sasaran awal Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebanyak 800,000 orang.
Angka berkenaan memperlihatkan sambutan terhadap MAHA 2026 bukan sahaja datang daripada masyarakat umum, malah turut mendapat perhatian besar golongan muda terhadap sektor pertanian dan agromakanan.
Kejayaan MAHA 2026 turut terserlah menerusi pencapaian ekonominya apabila nilai jualan mencecah RM73.08 juta, mengatasi sasaran RM58 juta.
Pada masa sama, nilai Memorandum Persefahaman (MoU) mencapai RM10.35 bilion, hasil 97 MoU yang dimeterai sepanjang penganjuran, sekali gus melepasi sasaran RM8 bilion.
Kehadiran lebih lima juta pengunjung itu turut disertai lebih satu juta kenderaan sepanjang tempoh penganjuran.
KPKM berkata peningkatan kehadiran daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk masyarakat Cina dan India, menunjukkan MAHA semakin diterima sebagai platform nasional yang merentasi kaum dan latar belakang.
Selain jumlah pengunjung, MAHA 2026 turut menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa, menjadikannya medan penting untuk mengetengahkan perkembangan sektor pertanian, agromakanan, teknologi dan inovasi.
Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan MAHA sebagai platform yang bukan sahaja menarik kehadiran rakyat dalam jumlah besar, tetapi turut membuka ruang kepada peluang perniagaan, pelaburan dan jaringan kerjasama dalam ekosistem pertanian serta agromakanan negara.
Secara keseluruhannya, MAHA 2026 membuktikan sambutan rakyat dan pencapaian ekonomi bergerak seiring apabila 5.02 juta pengunjung, 2.01 juta belia, RM73.08 juta nilai jualan dan RM10.35 bilion nilai MoU berjaya direkodkan.
KPKM menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti MAHA terus menjadi platform berprestij yang mendapat sambutan luar biasa, di samping membantu memperkukuh agenda pembangunan sektor pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan negara.
BACA JUGA Bekas Pengarah Besar Felda tiba di mahkamah bagi prosiding reman