Azeez didakwa hari ini, RCI Tabung Haji masuk fasa baharu
Siasatan berhubung penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) memasuki fasa baharu apabila bekas pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Abdul Azeez, yang juga bekas Ahli Parlimen Baling, dijadualkan hadir di hadapan Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi, berdasarkan semakan sistem e-Filing mahkamah. Beliau akan didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau sebelum ini direman selama tujuh hari bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bermula 27 Ogos hingga 2 September bagi membantu siasatan susulan penemuan dalam laporan RCI mengenai institusi pengurusan dana jemaah haji itu.
Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 berkaitan penyalahgunaan kuasa.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lalu meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengesyorkan audit forensik terhadap beberapa keputusan pelaburan yang menyebabkan kemerosotan nilai aset institusi berkenaan.
RCI turut mengenal pasti kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik dalam pengurusan TH, termasuk penglibatan ahli politik aktif dalam lembaga pengarah pada tempoh tertentu.
Menurut laporan itu, beberapa keputusan berkaitan agihan keuntungan atau hibah, bayaran haji dan bantuan kewangan haji turut dipengaruhi unsur politik.
Abdul Azeez merupakan antara nama yang diberi perhatian kerana beliau menjadi pengerusi TH dari 2013 hingga 2018 ketika tempoh yang turut diteliti RCI.
Laporan berkenaan mendapati beliau memegang beberapa jawatan dalam syarikat subsidiari TH dan menyifatkan keadaan sedemikian berpotensi mengalih perhatian pemegang jawatan daripada tanggungjawab utama serta mewujudkan konflik kepentingan.
RCI juga menyoroti masalah kewangan TH, termasuk apa yang digambarkan sebagai amalan “perakaunan kreatif”, apabila sebahagian kerugian dan kemerosotan nilai pelaburan tidak direkodkan dengan sewajarnya, sekali gus membantu mengekalkan pembayaran hibah pada kadar yang tinggi.
Antara pelaburan yang dikenal pasti memerlukan penelitian lanjut ialah PT TH Indo Plantations, TH Properties dan FGV Holdings, manakala RCI mengesyorkan audit forensik terhadap pelaburan serta transaksi tertentu yang menimbulkan persoalan berkaitan kerugian atau kemungkinan penyembunyian maklumat.
Bagaimanapun, Abdul Azeez sebelum ini menafikan mempunyai kuasa mutlak terhadap operasi TH dan menegaskan beliau hanya berperanan sebagai pengerusi bukan eksekutif. Katanya, keputusan pelaburan dan urusan operasi dibawa melalui pengurusan serta panel berkaitan sebelum dibentangkan kepada lembaga pengarah.
Dengan pendakwaan yang dijadualkan esok, kes Abdul Azeez menjadi antara perkembangan utama susulan siasatan SPRM terhadap penemuan RCI, selepas beberapa individu lain turut ditahan dan disiasat berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan tersebut. SPRM sebelum ini memaklumkan beberapa kertas siasatan berkaitan RCI TH telah dihantar untuk tindakan pendakwaan.
Laporan RCI setebal 211 halaman itu mengandungi penemuan dan 25 syor penambahbaikan, termasuk cadangan memperkukuh tadbir urus TH, memperincikan kriteria pelantikan ahli lembaga serta mengehadkan penglibatan ahli politik aktif dalam kepimpinan institusi dan anak syarikatnya.
BACA JUGA Tak perlu tunggu ‘buah gugur’, PH sedia bertanding di Melaka tanpa BN