Umno Terengganu bersuara: ‘Kami pernah ditipu, dizalimi MN 1.0’

Cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) 2.0 di Terengganu berdepan persoalan besar apabila Umno Marang mengingatkan pengalaman mereka ketika pelaksanaan MN 1.0 yang didakwa menyaksikan parti itu “ditipu dan dizalimi”.

Pendirian itu dinyatakan Umno Marang ketika mengulas ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas ke-72 yang memberi isyarat bahawa semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi pada PRU15 perlu dipertahankan.

Menurut Umno Marang, kenyataan Abdul Hadi itu dianggap sebagai mesej dan petunjuk yang jelas mengenai pendirian Pas berhubung bentuk kerjasama politik yang ingin dibawa, khususnya di negeri yang kini dikuasai parti berkenaan.

“Terima kasih Haji Hadi. Mesej dan petunjuk jelas untuk kami Umno Terengganu,” kata Umno Marang menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

Lebih menarik hantaran di media sosial Umno Marang disertakan dengan poster tangan digigit ular.

Namun begitu, Umno Marang menegaskan sebarang rundingan di peringkat pusat, termasuk pendirian individu tertentu dalam Umno serta perkembangan “risik-merisik” antara parti di negeri lain, tidak bermakna mereka perlu menerima bulat-bulat cadangan MN 2.0 di Terengganu.

Malah, bahagian itu menegaskan pendirian mereka akan ditentukan berdasarkan suara majoriti akar umbi dan bukan semata-mata berdasarkan pandangan pemimpin tertentu di peringkat pusat.

“Suara selektif walau bergema sehingga ke bulan, tiada maknanya andai ia bukan suara akar umbi,” katanya.

Lebih tegas, Umno Marang berkata membuka pintu rundingan tidak bermaksud pihaknya pernah memohon atau merayu untuk bekerjasama, malah mereka mendakwa selesa dengan kedudukan sekarang yang bebas daripada sebarang ikatan politik tertentu di Terengganu.

Menurut kenyataan itu, MN 2.0 juga bukan agenda utama Umno Marang ketika ini kerana fokus mereka adalah untuk menjadi penyemak imbang kepada kerajaan negeri, selain meletakkan diri sebagai “kerajaan menunggu” sehingga pilihan raya akan datang.

Umno Marang turut membangkitkan pengalaman ketika MN 1.0 apabila mendakwa mereka pernah “ditipu dan dizalimi”, khususnya berkaitan agihan bantuan dan peruntukan Covid-19, walaupun pada ketika itu Umno Terengganu tidak meminta sebarang jawatan Exco, GLC atau GLIC.

“Adil dan saksama sekadar tebu di bibir kalian,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, Umno Marang berkata mereka tetap mengalu-alukan pelawaan Speaker DUN Terengganu, Mohd Nor Hamzah, supaya ahli Umno membantu kerajaan negeri serta bersedia bertemu untuk mendapatkan penerangan berhubung isu kerajaan negeri dan rakyat.

Umno Marang memberi isyarat bahawa ruang untuk kerjasama dalam soal kepentingan rakyat masih terbuka, namun ia tidak semestinya bermakna mereka bersedia mengikat diri dengan MN 2.0 sebagai satu pakatan politik.

“Insya-Allah, segala kepincangan, salah guna kuasa dan permasalahan rakyat akan kami juarai dengan lebih efektif dan agresif sehingga paluan pilihan raya negeri berbunyi kelak,” katanya.

Perkembangan itu memperlihatkan bahawa usaha menghidupkan semula kerjasama Umno-Pas di Terengganu bukan sekadar soal pembahagian kerusi, sebaliknya turut bergantung kepada sejauh mana keyakinan akar umbi Umno terhadap Pas selepas pengalaman MN 1.0.

Dengan Pas menguasai kesemua kerusi Parlimen dan DUN Terengganu yang dipertandingkan dalam pilihan raya sebelum ini, persoalan utama kini ialah sama ada formula MN 2.0 benar-benar mampu meyakinkan Umno Terengganu atau akhirnya hanya membuka semula luka lama yang masih belum dilupakan.

BACA JUGA Tak perlu tunggu ‘buah gugur’, PH sedia bertanding di Melaka tanpa BN