AMK Kedah anggap Umno hanya simpanan politik Pas

Pendirian Pas untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya pada PRU15, khususnya di empat negeri yang membentuk SG4, disifatkan sebagai isyarat jelas bahawa Umno hanya dilihat sebagai “simpanan politik” apabila parti itu memerlukan sokongan Melayu di Pantai Barat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail, berkata Umno perlu membuka mata terhadap hala tuju sebenar hubungan politik dengan Pas selepas muktamar parti itu di Kelantan baru-baru ini tidak memperlihatkan komitmen jelas untuk memperkukuh kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Umno tidak seharusnya terus menipu diri sendiri dengan menganggap Pas melihat parti itu sebagai rakan strategik yang setara dalam sebarang bentuk kerjasama politik.

Sebaliknya, beliau mendakwa Umno hanya akan diperlukan Pas apabila parti itu mahu mendapatkan sokongan pengundi Melayu di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung, sedangkan di negeri yang dikuasainya, Pas dan PN mahu mengekalkan penguasaan mereka.

“Di negeri-negeri SG4, Pas dan PN mahu mempertahankan penguasaan sepenuhnya. Apabila sampai soal kerusi dan kuasa, Umno tidak diperlukan.

“Tetapi apabila mahu menembusi negeri-negeri Pantai Barat, tiba-tiba naratif penyatuan Melayu dan kerjasama politik kembali dilaungkan.

“Ini bukan kerjasama politik. Ini politik guna bila perlu, buang bila tidak menguntungkan,” katanya seperti dilapor Suara Keadilan.

Mohammad Fitri yang juga Ketua AMK Merbok berkata, ketiadaan komitmen untuk memperkukuh kerjasama BN-PN dalam muktamar Pas hujung minggu lalu sepatutnya menjadi amaran kepada Umno supaya tidak mengulangi episod Muafakat Nasional (MN) 1.0.

Beliau berkata Umno perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu dan tidak membiarkan dirinya digunakan sebagai laluan politik kepada Pas untuk mencapai matlamat lebih besar.

“Jangan sampai Umno hanya menjadi jambatan untuk Pas menyeberang ke Putrajaya, kemudian jambatan itu dibakar setelah mereka sampai ke seberang.

“Umno perlu bertanya kepada diri sendiri dalam hubungan ini, adakah mereka rakan kongsi atau sekadar ‘spare tyre’ politik Pas?” katanya.

Dalam muktamar baru-baru ini, Presiden Pas Abdul Hadi Awang menegaskan semua kerusi DUN dan Parlimen yang dimenangi parti itu pada PRU15 wajib dipertahankan, termasuk di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang disifatkan sebagai “negeri pangkalan”.

“Setiap kerusi DUN dan Parlimen yang telah dimenangi pada PRU15 wajib dipertahankan, manakala Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4) sebagai ‘negeri pangkalan’ mesti terus dikekalkan penguasaannya,” katanya dipetik.

Pendirian itu dilihat mempunyai implikasi langsung terhadap sebarang rundingan pembahagian kerusi antara Umno dan Pas, terutama di negeri-negeri yang kini dikuasai Pas apabila Umno perlu menentukan sama ada ruang untuk kerjasama benar-benar wujud atau sekadar memberi keuntungan politik kepada satu pihak.

Bagi AMK Kedah, perkembangan berkenaan seharusnya mendorong Umno menilai semula kedudukannya dalam hubungan dengan Pas sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama politik pada pilihan raya akan datang.

BACA JUGA Rakyat Barat berani turun ke jalan, Mat Sabu tempelak pemimpin Arab masih tunggu apa