PH mahu semua pesalah profil tinggi jalani penuh hukuman yang diputuskan mahkamah

Individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang diputuskan mahkamah, tegas Pakatan Harapan (PH).

Pendirian itu dinyatakan Majlis Setiausaha PH ketika gabungan berkenaan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

Menurut PH, prinsip berkenaan selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa disiasat secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

“Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan politik yang sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik dan penolakan terhadap rasuah serta penyalahgunaan kuasa berpendirian bahawa mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah,” kata kenyataan itu.

PH pada masa sama menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang turut menuntut supaya proses kehakiman yang masih berjalan diberikan ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas.

Menurut gabungan itu, perkara berkenaan penting bagi mengelakkan timbul persepsi bahawa proses kehakiman telah didahului atau dipengaruhi pertimbangan lain sebelum keputusan mahkamah dibuat.

PH berkata pendirian tersebut amat penting ketika Malaysia berada dalam fasa memperkukuh tatakelola serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

“Sebarang keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut,” katanya.

Gabungan itu turut mengingatkan bahawa beberapa kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini memberi kesan besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurut PH, usaha membina semula keyakinan terhadap institusi negara, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan momentum pemulihan itu perlu terus dipelihara.

PH berkata gabungan itu dibina atas sokongan rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda Reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, PH menegaskan amanah berkenaan menuntut gabungan tersebut untuk kekal konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip walaupun berdepan situasi mencabar dan tekanan dari pelbagai sudut.

“Pakatan Harapan mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara dan pada masa yang sama kekal teguh mempertahankan prinsip Reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah,” katanya.

Pendirian itu hadir ketika beberapa kes berpro

fil tinggi berkaitan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa terus mendapat perhatian awam, sekali gus menjadikan soal integriti proses kehakiman dan pelaksanaan hukuman antara perkara yang diperhatikan masyarakat.