ANALISIS | Buat dulu, umum dulu – Benarkah krisis takhta Negeri Sembilan sedang cipta ‘precedent’ bahaya?

TEAM EDITORIAL


Pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kini tidak lagi sekadar soal siapa berada di takhta atau siapa bakal menggantikannya, sebaliknya mula mengheret persoalan lebih besar mengenai sejauh mana aturan Adat, Undang-undang Tubuh dan Perlembagaan negeri dipatuhi apabila melibatkan institusi Raja.

Persoalan itu dibangkitkan pempengaruh Liyana Marzuki dalam ulasannya mengenai perkembangan terbaru berkaitan proses penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Menurutnya, proses berkenaan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana kedudukan seorang Raja tertakluk kepada aturan dan tatacara yang telah ditetapkan.

Antara perkara utama yang dipersoalkan ialah keperluan mendapatkan persetujuan serta tandatangan Menteri Besar bagi melengkapkan proklamasi berkaitan penurunan takhta. Liyana yang juga seorang peguam mendakwa Menteri Besar terdahulu tidak bersedia menandatangani dokumen berkenaan kerana terdapat persoalan mengenai kemungkinan wujudnya kelompongan dari sudut Adat dan Perlembagaan.

Perkembangan terbaru pula menimbulkan persoalan apabila didakwa dalam satu sidang media bahawa tandatangan Menteri Besar yang baharu sudah diperoleh, sedangkan penurunan takhta itu dikatakan telah berkuat kuasa sehari sebelumnya.

Aturan mengelirukan

Di sinilah persoalan perlembagaan menjadi semakin besar.

Jika tandatangan Menteri Besar sememangnya diperlukan untuk menyempurnakan proses penurunan takhta, persoalannya ialah mengapa pengganti kepada Yang di-Pertuan Besar sudah dinamakan sebelum proses berkenaan benar-benar lengkap mengikut aturan yang sepatutnya.

Lebih jauh, Liyana mempersoalkan mengapa pemasyhuran pengganti dikatakan sudah dibuat di sebuah hotel di Melaka sekiranya proses penurunan takhta Raja terdahulu masih belum disempurnakan. Bagi beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai urutan sebenar proses yang telah berlaku.

Persoalan tersebut penting kerana dalam sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan seorang Raja bukan sekadar keputusan politik yang boleh dibuat berdasarkan siapa mempunyai sokongan paling kuat. Ia berkait rapat dengan institusi, undang-undang dan adat yang menjadi asas kepada kesinambungan pemerintahan negeri.

Atas sebab itu, Liyana menggunakan istilah “bulldoze”(merempuh prosedur) untuk menggambarkan apa yang didakwanya berlaku, iaitu tindakan dibuat terlebih dahulu, pengumuman dibuat dan pemasyhuran dilakukan sebelum persoalan mengenai asas undang-undangnya selesai dijawab.

Jika dakwaan tersebut benar, persoalannya bukan lagi sekadar siapa menang atau kalah dalam pertikaian politik, tetapi sama ada pendekatan sedemikian boleh mewujudkan satu precedent yang memberi kesan kepada institusi Raja pada masa hadapan.

Institusi tidak semestinya runtuh secara tiba-tiba. Kewibawaannya boleh terhakis sedikit demi sedikit apabila aturan yang sepatutnya menjadi pagar kepada institusi mula dianggap boleh diketepikan atas alasan tertentu.

Hari ini mungkin berlaku dalam satu negeri, tetapi precedent yang dibina hari ini boleh menjadi rujukan untuk hari esok. Jika proses penurunan takhta seorang Raja boleh dipersoalkan kerana didakwa mendahului prosedur, apakah jaminan kaedah sama tidak akan digunakan terhadap Raja-raja Melayu lain pada masa hadapan?

Namun, terdapat persoalan yang lebih asas yang perlu dijawab kepada rakyat, iaitu mengapa Yang di-Pertuan Besar yang sedang bertakhta itu perlu diturunkan?

Jika memang terdapat asas Perlembagaan dan undang-undang yang membolehkan penurunan tersebut, asas itu wajar dijelaskan melalui saluran yang sah, bukannya dibiarkan berkembang sebagai perang naratif di media sosial.

Begitu juga dakwaan bahawa proses berkenaan mempunyai kaitan dengan pendirian Raja terhadap isu rasuah dan salah guna kuasa. Perkara itu tidak wajar dibiarkan sekadar menjadi spekulasi politik; jika benar ada kaitan, ia memerlukan penjelasan dan bukti, manakala jika tidak benar, pihak berkaitan juga mempunyai tanggungjawab untuk menjernihkan persepsi tersebut.

Kerana akhirnya, persoalan sebenar bukan siapa menang dalam pertelingkahan ini, tetapi apakah jenis sistem yang mahu ditinggalkan kepada generasi akan datang. Adat mesti dihormati, Perlembagaan mesti dipatuhi dan institusi Raja mesti dilindungi.

Dalam soal takhta, bukan sekadar siapa yang menaiki singgahsana penting, tetapi bagaimana seseorang boleh menaiki takhta dan bagaimana seseorang yang sedang bertakhta boleh diturunkan.

BACA JUGA Umno Terengganu bersuara: ‘Kami pernah ditipu, dizalimi MN 1.0’