Hampir tiga dekad Kelantan tarah hutan simpan kekal, SAM persoal siapa untung, siapa tanggung akibat
Sahabat Alam Malaysia (SAM) mempersoalkan siapa sebenarnya mendapat keuntungan daripada eksploitasi sumber hutan di Kelantan selepas hampir tiga dekad Hutan Simpan Kekal (HSK) dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri itu gagal diurus serta dipulihara secara mampan.
Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, keadaan semakin membimbangkan apabila Pihak Berkuasa Negeri (PBN) meluluskan pelbagai pembangunan ladang hutan monokultur selain aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK.
Menurutnya, dianggarkan hampir 30 peratus daripada keseluruhan keluasan HSK di Kelantan telah dizonkan bagi pembangunan ladang monokultur serta tujuan perlombongan dan pengkuarian.

Beliau berkata, eksploitasi berskala besar itu bukan sahaja memberi kesan terhadap ekosistem, malah menjejaskan sosioekonomi masyarakat setempat serta meningkatkan konflik antara manusia dengan hidupan liar.
“Oleh kerana kegagalan PBN menguruskan sumber hutan secara mampan, Pensijilan Pengurusan Hutan dibawah Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS) bagi negeri Kelantan telah digantung sejak 2016 sehingga sekarang.
“Disamping itu, PBN masih tidak mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MMTN) Ke-70 pada tahun 2014 yang menyarankan supaya semua Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengawal atau seboleh-bolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan / pengkuarian dalam HSK,” katanya menerusi kenyataan.
Guna tanah hutan
Dalam masa sama, SAM menegaskan kerajaan negeri Kelantan perlu juga melindungi dan memulihara semua Kawasan Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) yang terdapat di negeri itu.
“Kawasan Rangkaian Ekologi CFS berperanan sebagai koridor bagi menghubungkan kompleks hutan dan amat penting kepada pergerakan hidupan liar.
“Mana-mana kawasan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PlanMalaysia) sebagai Kawasan Rangkaian Ekologi CFS perlulah dikawal atau seboleh-bolehnya mengelakkan apa sahaja kululusan yang melibatkan penukaran guna tanah hutan,” tegasnya.
Kebimbangan SAM semakin memuncak susulan Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan pada 2023 yang melibatkan Rancangan Struktur Negeri, enam Rancangan Tempatan dan satu Rancangan Kawasan Khas.

Menurut SAM, antara perkara paling membimbangkan dalam cadangan tersebut ialah keputusan supaya kawasan HSK, kecuali kawasan punca dan tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS.
“Sekiranya Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan diluluskan, sumber hutan dan KSAS boleh dieksploitasi sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kepentingan dan kekayaan biologinya, kepentingan sosio ekonomi kepada komuniti setempat serta impak kepada alam sekitar.
“Malah, Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan bercanggah dengan Rancangan Pemajuan / Pelan Perancangan Fizikal di peringkat persekutuan yang perlu diterjemah, diselaras dan diperincikan di peringkat perancangan wilayah / negeri melalui RSN, RT dan RKK,” katanya.
Bah kuning
Lebih setahun selepas Sesi Pendengaran Awam dan Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Tempatan pada 25 Februari 2024, SAM berkata, kerajaan negeri dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kelantan masih belum memaklumkan kepada orang ramai mengenai status terkini cadangan tersebut.
“Susulan itu, SAM telah mengemuka surat kepada Menteri Besar pada Januari 2026 untuk mendapatkan penjelasan status Cadangan Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan tetapi adalah dukacita sehingga kini masih belum menerima maklum balas,” ujarnya. .
Pertubuhan itu turut mempersoalkan keputusan kerajaan negeri yang tidak mahu menerima pakai Seksyen 7 dan 8 Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 dalam pindaan enakmen perhutanan negeri.
“Disamping itu, SAM juga amat kecewa apabila surat-surat yang pernah dikemuka sebelum ini sama ada kepada Menteri Besar atau PBN yang membabitkan hal ehwal hutan pun tidak pernah diterima maklum balas.
“Pimpinan di peringkat negeri tidak mengambil iktibar bahawa aktiviti manusia boleh mempengaruhi bencana banjir besar “bah kuning” pada 2014 tetapi menunding kepada fenomena alam terutama kadar curahan hujan yang luar biasa,” menurut SAM lagi.
BACA JUGA Bila wang negara diurus berhemah, rakyat dapat manfaat, hanya kontraktor kroni ‘panas’