Helikopter terhempas, kebajikan keluarga mangsa jadi keutamaan KKM
Keselamatan petugas, kebajikan keluarga mangsa dan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kini menjadi tiga keutamaan utama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tumpuan kementerian ketika ini adalah memastikan keselamatan anggota FDS, kebajikan waris mangsa terbela serta perkhidmatan kesihatan kepada komuniti di kawasan pedalaman tidak terjejas akibat tragedi berkenaan.
Operasi membawa keluar mangsa dari lokasi nahas sedang giat dijalankan pasukan penyelamat, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Hospital Miri pula telah membuat persiapan di semua peringkat bagi menerima mangsa sebaik sahaja mereka berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun, KKM setakat ini tidak akan mendedahkan nama mangsa bagi menghormati keluarga serta mematuhi prosedur perundangan yang ditetapkan.
Kementerian berkata proses pengecaman identiti akan dilengkapkan secara rasmi selepas jenazah tiba di hospital, manakala sebarang pengesahan hanya akan dibuat selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa berkaitan.
Nahas itu berlaku ketika pasukan FDS yang terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang pembantu pegawai perubatan, dua jururawat dan seorang juruterbang dalam perjalanan ke destinasi terakhir mereka di Long Lellang.
Pasukan tersebut sebelum itu telah selesai menjalankan tugasan di dua lokasi lain, iaitu Long Banga dan Long Siut, sebelum meneruskan perjalanan ke Long Lellang.
KKM menjelaskan FDS merupakan perkhidmatan penting bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada rawatan kesihatan. Pemilihan perkhidmatan melalui darat, udara atau air bergantung kepada faktor seperti bentuk muka bumi, kesukaran logistik, tempoh perjalanan dan keadaan pesakit.
Dalam masa sama, pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) KKM telah digerakkan untuk mendampingi ahli keluarga mangsa melalui Psychological First Aid (PFA) serta sokongan emosi berterusan, termasuk kepada anggota FDS yang berdepan kesan trauma.
Dari aspek kebajikan, bantuan kewangan kepada keluarga mangsa akan disalurkan melalui Tabung Kelab Sukan dan Kebajikan Ibu Pejabat KKM (KESKIP), selain bantuan kewangan ex-gratia daripada kerajaan.
KKM turut bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam memastikan aspek keselamatan serta kesinambungan perkhidmatan diberi perhatian.
Menurut kementerian, sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan penilaian risiko dan fakta yang disahkan, dengan perkhidmatan kritikal khususnya keupayaan penerbangan pemindahan perubatan (MEDEVAC) ke fasiliti kesihatan berhampiran diberi keutamaan.
KKM pada masa sama memberi jaminan akan menyalurkan maklumat rasmi dari semasa ke semasa dan meminta media serta orang awam tidak menyebarkan sebarang spekulasi, nama atau gambar mangsa yang belum disahkan
BACA JUGA Hampir tiga dekad Kelantan tarah hutan simpan kekal, SAM persoal siapa untung, siapa tanggung akibat