Nahas helikopter Long Lellang: Anwar titip doa, janji kerajaan bantu keluarga mangsa
Keprihatinan terhadap nasib keluarga lima individu yang terlibat dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) berhampiran Long Lellang, Sarawak, dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut meminta orang ramai menghormati ruang keluarga mangsa ketika berdepan detik sukar itu.
Anwar berkata beliau bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berdukacita selepas menerima berita mengenai nahas yang berlaku petang semalam.
Menurutnya, helikopter berkenaan membawa empat petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seorang juruterbang ketika tragedi berlaku.
“Ingatan serta doa saya dan Azizah bersama keluarga kesemua mangsa yang sedang melalui detik yang begitu berat ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Anwar turut mendoakan agar semua keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian berkenaan.
Pada masa sama, Perdana Menteri meminta semua pihak termasuk orang ramai dan media supaya memberikan ruang secukupnya kepada ahli keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian.
“Saya mohon semua pihak memberikan ruang kepada ahli keluarga serta mengelakkan sebarang spekulasi sementara menanti maklumat sah daripada pihak berkuasa,” katanya.
KKM sebelum ini memaklumkan operasi membawa keluar mangsa dari lokasi nahas sedang giat dijalankan pasukan penyelamat, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Hospital Miri juga telah bersiap sedia di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Menurut KKM, pasukan PDU yang terlibat terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang pembantu pegawai perubatan, dua jururawat serta seorang juruterbang. Mereka dalam perjalanan ke destinasi terakhir di Long Lellang selepas selesai menjalankan tugasan di Long Banga dan Long Siut.
Kementerian turut mengambil pendekatan tidak mengumumkan nama mangsa pada ketika ini bagi menghormati keluarga serta mematuhi prosedur perundangan, sementara proses pengecaman identiti dilakukan secara rasmi.
Dalam menghadapi tragedi itu, KKM menetapkan keselamatan petugas, kebajikan keluarga mangsa dan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti sebagai tiga keutamaan utama.
Pasukan Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) KKM juga telah digerakkan bagi mendampingi ahli keluarga mangsa dengan sokongan emosi serta Psychological First Aid (PFA), selain membantu pasukan FDS menghadapi kesan trauma.
Anwar pada masa sama memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan keluarga mangsa mendapat bantuan dan sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh sukar tersebut.
“Kerajaan akan memberikan segala bantuan dan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa, Insya-Allah,” katanya.
KKM turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan nama, gambar atau maklumat yang belum disahkan, manakala maklumat rasmi mengenai tragedi itu akan disalurkan dari semasa ke semasa selepas mendapat pengesahan pihak berkuasa.
BACA JUGA Belum sempat didakwa, Azeez direman lagi, apa pula kes kali ini?