Tular elaun petugas doktor udara cuma RM30, Menteri Kesihatan tampil beri penjelasan
Sejak pagi tadi berlegar dakwaan bahawa petugas perubatan yang menjalankan tugas perkhidmatan doktor udara hanya menerima elaun RM30 bagi satu penerbangan pergi dan balik.
Ia menjadi perhatian susulan nahas helikopter Flying Doctor Service (FDS) di Long Lellang, Sarawak, semalam.
Mereka membangkitkan mengenai kewajaran kadar RM30 berkenaan berbanding risiko dan tanggungjawab yang dipikul petugas perubatan yang menjalankan tugas melalui penerbangan ke kawasan pedalaman.
Dokumen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sememangnya menetapkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara pada kadar RM30 bagi satu penerbangan pergi dan balik.
Kebimbangan itu mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang tampil menjawab keresahan dan keprihatinan ramai berhubung isu berkenaan.
Dalam sidang medianya tengah hari tadi, beliau menjelaskan bahawa persoalan jumlah elaun petugas FDS sebenarnya sudah dibawa KKM untuk perbincangan sejak November 2025.
Beliau berkata pihaknya akan meneliti perkembangan cadangan tersebut dan memaklumkannya semula sebaik menerima keputusan rasmi.
“Antara cadangan yang kami angkat adalah elaun ‘Flying Doctors’ yang sudah pun kita bawa pada tahun lalu, penghujung tahun lalu, bulan November secara tepatnya 2025.
“Kami yakin akan dapat satu respons positif daripada pihak berwajib dan berkaitan. Kita tahu kita perlu memberikan yang sewajarnya. Sebab itu kami telah mengangkat isu elaun ini awal lagi,” katanya dalam sidang media khas.