Pakar psikologi: Umur 16 fasa kritikal bina identiti, sebab itu had umur media sosial wajar disokong
Cadangan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial di Malaysia kini menjadi perbincangan hangat, susulan usaha kerajaan memperkukuh perlindungan terhadap golongan muda dalam persekitaran digital.
Langkah itu dilihat sebagai pendekatan proaktif dalam menangani risiko pendedahan awal, namun pada masa sama menimbulkan persoalan mengenai keseimbangan antara perlindungan, akses maklumat dan pembangunan digital remaja.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Mohamed Fadzil Che Din berkata, usia 16 tahun merupakan fasa kritikal dalam pembinaan identiti diri seseorang individu.
Menurutnya, tempoh remaja khususnya antara usia 12 hingga 18 tahun adalah peringkat penting bagi individu membentuk nilai kendiri, potensi diri serta memahami kedudukan mereka dalam keluarga dan masyarakat.
“Umur 16 tahun ini berada di tengah-tengah fasa remaja di mana individu mula membina identiti diri, nilai kendiri dan arah hidup mereka, dan jika proses ini gagal, ia boleh menyebabkan individu berasa rendah diri, resah dan kurang keyakinan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pada peringkat ini, kematangan kognitif dan emosi masih berkembang, sekali gus menjadikan remaja lebih terdedah kepada pengaruh luar termasuk persekitaran digital.