Pas untung sekutu tersungkur, dulu Bersatu kini Umno pula
Oleh MOHD FAISAL
Sebelum pergi jauh, kena fahami dulu apa perbezaan antara Umno dengan Pas.
Umno sejak lahir menggunakan politik untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
Pas pula menggunakan agama, bangsa dan negara untuk kepentingan politik.
Perkara ini sudah lama berlaku dan sekarang ianya sedang berlaku depan mata kita.
Setiap hari Pas mendendangkan perkataan, penyatuan ummah, penyatuan Melayu dan bla bla bla… demi Islam, demi negara dan bla bla bla… .
Kita perlu runtuhkan tembok yang dibina dalam minda kita, bahawasanya Pas itu sebuah gerakan Islam, gerakan dakwah dan bla bla bla….
Pas tetap political animal (binatang politik) yang pantang ada peluang, dia akan rembat.
Dan sejarah telah membuktikan, pantang ada peluang Pas akan rembat. Sejarah juga telah membuktikan, semua kerjasama politik yang Pas jalinkan akan menguntungkan mereka.
Tahun 1990, apabila Umno berpecah Team A dan Team B, dan lahirlah Semangat 46, Pas menjalinkan kerjasama dengan mereka.
Yang mendapat untung adalah Pas. Mereka berjaya merampas kembali Kelantan dari BN, dan bertahan sehingga ke hari ini.
Paling untung
Tahun 1998, sekali lagi berlaku perpecahan dalam Umno yang melibatkan pemecatan Anwar Ibrahim. Pemimpin Pas yang terlebih dahulu mengunjungi Anwar di rumahnya di Bukit Damansara.
Maka terjalinlah hubungan hingga tertubuhnya Barisan Alternatif (BA).
Pada zaman inilah Pas paling untung. Ceramah lautan manusia, dan hasil derma… faham-faham sajalah.
Pada zaman ini jugalah zaman kegemilangan Harakah. Hari Harakah diedarkan (dua kali seminggu) depan pejabatnya di Jalan Pahang, akan berderet-deret pembekal akhbar menunggu.
Jualan Harakah bagaikan pisang goreng panas. Harga iklan pun naik mencanak-canak. Betul-betul mereka buat duit pada masa itu.
Masuk PRU 1999, Pas berjaya menawan Terengganu, dan mula menembusi negeri-negeri Pantai Barat serta utara. Sekali lagi mereka untung dari gerakan reformasi.

PRU 2008, sekali lagi mereka kerjasama dengan PKR dan DAP. Kali ini mereka untung lagi besar.
Dapat tawan Kedah, dapat jadi kerajaan di Pulau Pinang dan Selangor. Dapat jadi Menteri Besar di Perak.
Pada 2013 pula walaupun kehilangan Kedah, tetapi mereka berjaya tembus Johor dan N9.
Berguling
Apabila bekerjasama dengan Bersatu dalam PN pula, keuntungan pertama mereka dapat adalah, berjaya mengambil alih Kedah melalui pertukaran kerajaan pada 2020, dengan cara terlibat menggulingkan Mukhriz.
Waktu MB dia digulingkan di Perak pada 2009, dia berguling-guling depan kereta Sultan. Waktu dia menggulingkan orang lain pula, no problem… halal dan ada dalil.
PRU 2022, buat pertama kali dalam sejarah dia menang paling besar apabila berada dalam PN. Menang 43 kerusi.
Seolah-olah lelaki tua mendapat viagra dan tidak dapat mengawal lagi nafsu, yang sedang mencanak-canak dia ceraikan Bersatu dan sedang gila kepada Umno pula.
Itulah Pas yang dikatakan membawa gerakan Islam. Anda nilailah sendiri!
Kehebatan Pas dalam berpolitik, dia berjaya mengheret parti-parti yang bekerjasama dengan mereka ke tahap yang bodoh.
Dia berjaya membuat parti-parti itu menari ikut rentaknya. Dan Pas ini tidak tahu erti malu walaupun membawa nama Islam.
Padahal, dalam Islam kita diajar untuk mempunyai rasa malu demi menjaga aib dan mengelak fitnah. Malu adalah sebahagian daripada iman.
Lalu parti-parti itu akan memandang dia kuat, dia ramai ahli, banyak jentera dan bla bla bla…
Tahyul-tahyul dan mitos-mitos inilah yang ditanam ke dalam minda parti-parti yang bekerjasama dengan mereka.
Umpama orang jual ubat kuat di Kelab Suara Muda, Bandar Kota Bharu. Cakap pung pang pung pang, bab meyakinkan orang ubatnya power dan akan membuatkan isteri sayang.
Padahal dia sendiri pun nikah tak lekat. Nikah cerai, nikah cerai, nikah cerai.
Jangka pendek
Kalau Pas itu kuat, mereka dah menang sekurang-kurangnya lima dari 11 kerusi yang ditandinginya di Johor.
Kalau benar dia kuat, tiadanya dia nak bertanding secara kerjasama dengan BN di Negeri Sembilan.
Kerjasama Umno dan Pas hanya boleh mendapat keuntungan jangka pendek. Untuk jangka panjang ianya akan merugikan Umno.

Perkara ini telah berlaku depan mata kita. Apabila Tan Sri Mahiaddin Yassin bekerjasama dengan Pas untuk membentuk kerajaan. Memang dia berlagak zuhud… kami tak nak jawatan, kami tak nak itu, ini.
Maka berkatalah Muhyiddin, Hadi lah orang pertama tandatangan SD sokong saya…..kah kah kah kah… Mudahnya dia terpesona dengan Hadi. Hidung dicium pipi digigit.
Tup tup tup… sekali tengok dia menang lebih besar dalam PRU 2022, dan selepas itu perlahan-lahan dia mainkan peranan agar Bersatu berpecah. Dia cucuk Hamzah (rakaman audio Wan Saiful). Dia pergi deal di Bangkok sembunyi-sembunyi.
Akhir sekali, Bersatu terpelanting. Padan muka kerana terlalu percaya sangat. Pas tidur dalam bilik, Bersatu tidur di ruang tamu. Pinjam kata-kata Sanusi.

Dan itulah yang akan dilalui Umno satu hari nanti. Mungkin satu, dua atau tiga tahun lagi jika Umno bekerjasama dengan mereka.
Satu lagi kepakaran Pas adalah play victim. Seolah-olah dia yang menjadi mangsa untuk menutup kebejatan mereka.
Kebetulan pula dia mahir bab mencari dalil dan nas. Maka orang pun akan percayalah. Itulah yang terjadi di Perlis.
Pas adalah satu-satunya parti yang tidak pernah salah dalam Malaysia. Sebab dia pandai mencari dalil serta nas.
Lebih malang lagi apabila ramai orang Melayu mempercayai setiap kata-kata Pas itu umpama hadis sahih.
Arang jika dibasuh dengan air mawar sekalipun, tidak akan putih. Yang faham akan faham. Yang tak faham boleh cari sendiri apa maksudnya.