Apa sebenarnya di sebalik Kempen Internet Selamat? Pakar mahu ibu bapa turut jadi benteng anak-anak
Usaha kerajaan memperkukuh keselamatan pengguna di ruang digital menerusi Kempen Internet Selamat wajar terus diberi perhatian susulan peningkatan risiko yang dihadapi kanak-kanak dan golongan muda ketika menggunakan Internet.
Kempen Internet Selamat bukan inisiatif baharu yang hanya diperkenalkan tahun ini, sebaliknya telah dilancarkan pada Januari 2025 sebagai usaha meningkatkan literasi digital serta kesedaran masyarakat mengenai penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.
Setakat 30 Jun 2026, Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan menerusi 12,446 program dengan capaian kira-kira 2.1 juta orang, menunjukkan usaha berkenaan terus diperluas kepada masyarakat.
Dalam konteks perlindungan kanak-kanak, usaha keselamatan Internet turut berjalan seiring dengan langkah kawal selia baharu berkaitan penggunaan media sosial.
Kod Perlindungan Kanak-kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 22 Mei 2026 mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Di bawah CPC, penyedia perkhidmatan media sosial diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur, dengan pengguna berusia 16 tahun ke atas dibenarkan memiliki akaun media sosial manakala kanak-kanak bawah usia itu tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun sendiri.
Langkah berkenaan bagaimanapun bukan bermaksud Kempen Internet Selamat hanya berkisar mengenai sekatan umur.
Sebaliknya, pendekatan kerajaan turut menekankan pendidikan, literasi digital dan peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi secara selamat.
Perkara ini mendapat perhatian pakar Kajian Media dan Sosialisasi Media Digital, Prof Madya Dr Shafizan Mohamed, yang menyifatkan Kempen Internet Selamat 1.0 berjaya membawa isu keselamatan Internet kepada perhatian umum serta memberikan pendedahan asas mengenai risiko seperti buli siber.
Beliau berpandangan kempen berkenaan perlu terus bergerak daripada sekadar meningkatkan kesedaran kepada pembinaan kemahiran praktikal supaya pengguna benar-benar mampu mengamalkan penggunaan Internet yang selamat dalam kehidupan seharian.
Shafizan turut menekankan keperluan menangani jurang literasi digital antara ibu bapa dan anak-anak serta meningkatkan kefahaman mengenai risiko seperti penipuan, ucapan kebencian dan kandungan yang dihasilkan kecerdasan buatan (AI).
Pandangan sama turut ditekankan pakar psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail, yang sebelum ini memberi amaran bahawa pendedahan kanak-kanak kepada buli siber, pengantunan (grooming) dan kandungan berbahaya dalam talian boleh menjejaskan perkembangan emosi mereka.
Menurut beliau, ibu bapa mempunyai peranan penting sebagai pelindung emosi utama kanak-kanak di ruang digital, termasuk mengawal pendedahan terhadap kandungan serta menyediakan sokongan kepada anak-anak.
Dalam pada itu, pendekatan kerajaan juga mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang terlibat dalam perlindungan kanak-kanak dan keselamatan digital.
Pada Hari Keselamatan Internet 2026, forum bertemakan “Internet Selamat, Tanggungjawab Semua” turut menghimpunkan wakil PDRM dan Pesuruhjaya Kanak-kanak SUHAKAM Prof Madya Dr Mohd Al Adib untuk membincangkan keselamatan kanak-kanak dalam talian.
Kempen Internet Selamat 2026 juga memperluas fokus kepada komuniti dan golongan belia, selain terus menyasarkan kanak-kanak, ibu bapa dan keluarga.
Justeru, usaha mewujudkan ruang digital yang lebih selamat bukan sekadar bergantung kepada kawalan kerajaan atau platform media sosial, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, sekolah, masyarakat dan pengguna sendiri.
Dengan ancaman dalam talian yang terus berubah, pendekatan berasaskan pendidikan, kesedaran, pemantauan dan tanggungjawab bersama dilihat penting bagi memastikan kemajuan teknologi tidak datang dengan mengorbankan keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak.