Kempen Internet Selamat tumpu peranan ibu bapa, bendung akses media sosial kanak-kanak – Nie Ching
Usaha meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai larangan pemilikan akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun terus diberi perhatian menerusi Kempen Internet Selamat.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, mesej berkenaan menjadi antara tumpuan kerajaan bagi memastikan ibu bapa memantau serta membimbing penggunaan peranti digital anak-anak dengan lebih ketat.
Beliau berkata, walaupun ibu bapa masih dibenarkan mendaftarkan akaun digital untuk anak-anak, langkah pencegahan dan kawalan kendiri di peringkat rumah adalah penting bagi mematuhi dasar semasa kerajaan.
“Polisi Kerajaan Madani sekarang ialah kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah tidak sepatutnya ada akaun media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Konvensyen PIBG Kempen Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor di Dewan Serbaguna Sri Tebrau.
Menurut Teo, ibu bapa juga perlu mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada pelbagai ancaman serta menjadi mangsa penipuan.
Katanya, tindakan susulan akan diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap aduan salah guna akaun membabitkan golongan bawah umur dengan mengemukakan laporan kepada penyedia platform digital untuk menurunkan akaun terbabit.
Beliau berkata, penganjuran Kempen Internet Selamat siri keempat di Johor yang memfokuskan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi platform untuk meluaskan pemahaman mengenai keselamatan Internet dalam kalangan ibu bapa.
Jelajah kempen itu akan diteruskan ke Sabah pada September dan Sarawak pada Oktober.
Teo berkata, kerjasama pihak sekolah dan PIBG dengan MCMC menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut dialu-alukan bagi penganjuran program kesedaran di peringkat komuniti masing-masing.
Beliau turut memaklumkan kempen berkenaan telah dilaksanakan melibatkan 5,946 Sekolah Kebangsaan, 2,416 Sekolah Menengah Kebangsaan, 1,285 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan 524 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Selain itu, Kempen Internet Selamat turut melibatkan 68 Institusi Pengajian Tinggi, 67 Kolej Tingkatan Enam atau Kolej Vokasional serta enam Institut Pendidikan Guru.