Ramai tak tahu, SKMM perlukan hingga 45 minit proses satu kandungan scam
Di sebalik usaha menurunkan kandungan penipuan (scam) di media sosial, terdapat proses yang mengambil masa dan sumber sebelum sesuatu kandungan itu boleh diminta untuk diturunkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, bagi setiap kandungan yang diminta untuk diturunkan, petugas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memerlukan antara 30 hingga 45 minit untuk memproses permohonan berkenaan.
Menurut beliau, tempoh itu diperlukan untuk petugas SKMM mengisi borang dan menghantarnya kepada pihak berkenaan.
Gambaran itu menunjukkan kerja membanteras kandungan scam bukan sekadar mengenal pasti hantaran yang bermasalah, sebaliknya turut melibatkan proses permohonan sebelum kandungan berkenaan diminta untuk diturunkan.
Setakat 19 Ogos 2026, sebanyak 127,568 kandungan scam telah dikenal pasti dan diminta untuk diturunkan daripada pelbagai platform media sosial.
Jumlah berkenaan mewakili 27 peratus daripada keseluruhan permohonan kandungan yang diminta untuk diturunkan oleh SKMM.
Daripada jumlah kandungan scam itu, 53 peratus dikesan di Facebook, manakala 39 peratus di TikTok dan selebihnya di platform lain.
Fahmi berkata, masalah jenayah scam yang kebanyakannya menggunakan akaun palsu merupakan antara kandungan yang paling banyak diminta untuk diturunkan oleh SKMM.
Beliau turut memaklumkan kerajaan telah mewartakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang perlu dipatuhi platform media sosial yang dikenal pasti.
Kedua-dua kod itu bertujuan memastikan tindakan diambil secara terselaras bagi mengelakkan kandungan yang memudaratkan serta boleh mengancam harta atau nyawa pengguna terus berada di platform masing-masing.
Dalam pada itu, Fahmi menggalakkan orang ramai membuat semakan melalui Sebenarnya.my dan MyCheck, selain mendapatkan pengesahan daripada media arus perdana sebelum mempercayai maklumat yang diterima.