Dari stok penimbal hingga teknologi AI, Malaysia–India perkukuh agenda keterjaminan makanan

Usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara terus diperkasa apabila Malaysia memperluas kerjasama dengan India meliputi penyelidikan, teknologi, pelaburan, rantaian bekalan dan pengurusan stok makanan strategik.

Langkah itu menjadi antara hasil penting penyertaan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN–India Ke-9 (AIMMAF) di New Delhi pada 9 September.

Melalui kerjasama berkenaan, Malaysia bukan sahaja membuka ruang untuk pertukaran kepakaran pertanian, malah mahu memanfaatkan pengalaman India dalam memperkukuh dasar keterjaminan makanan negara, khususnya berkaitan pengurusan stok penimbal strategik, sistem pengagihan dan tadbir urus rantaian bekalan.

Perkara itu dilihat penting ketika Malaysia sedang merangka Akta Keterjaminan Makanan Negara, dengan pengalaman India menjadi antara rujukan yang mahu dipelajari bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang gangguan terhadap bekalan makanan.

Dalam pertemuan dua hala dengan Menteri Pertanian dan Kesejahteraan Petani India, Shivraj Singh Chouhan, Malaysia turut menghargai peranan India sebagai rakan dagang utama dan pembekal komoditi kritikal seperti beras, daging serta bawang.

Mohamad berkata kerjasama ASEAN–India perlu dilihat lebih luas daripada hubungan perdagangan kerana perkongsian ilmu dan kepakaran boleh membantu meningkatkan produktiviti pertanian serta memperkukuh keterjaminan makanan di rantau ini.

Kerjasama ASEAN-India perlu terus diperkasa bukan sahaja melalui perdagangan, tetapi juga dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemindahan dan pembangunan teknologi, pelaburan serta pengukuhan rantaian nilai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi bersama saintis, penyelidik dan pemain industri India yang memberi peluang kepada delegasi Malaysia bertukar pandangan mengenai cabaran pertanian serta peranan teknologi dalam memperkukuh sektor agromakanan.

Pada peringkat ASEAN–India, kerjasama itu turut membuka ruang kepada penggunaan teknologi baharu apabila program pembangunan kapasiti berasaskan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan machine learning bagi pertanian tepat atau precision agriculture dicadangkan untuk dilaksanakan pada suku keempat 2026 atau suku pertama 2027.

Kerjasama pembangunan kapasiti turut merangkumi penawaran 50 biasiswa ASEAN–India Fellowship setiap tahun di universiti pertanian India serta program pembangunan teknologi lepas tuai, selain cadangan Farmers’ Exchange Programme bagi membolehkan petani kedua-dua rantau bertukar pengetahuan secara langsung.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn, turut menegaskan kepentingan sektor makanan dan pertanian dalam hubungan ASEAN–India, dengan ruang besar untuk memperluas perdagangan, mengukuhkan rantaian nilai serantau serta mewujudkan peluang baharu kepada petani dan perniagaan.

Selain teknologi dan rantaian bekalan, Malaysia dan India juga akan meneroka pengukuhan kapasiti bank benih atau gene bank, manakala ASEAN dan India menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor makanan, pertanian dan perhutanan demi keterjaminan serta kemampanan agromakanan serantau.

Secara keseluruhannya, pendekatan Malaysia dalam kerjasama ASEAN–India menunjukkan agenda keterjaminan makanan kini digerakkan melalui gabungan teknologi, penyelidikan, pembangunan sumber manusia, pengurusan stok strategik dan pengukuhan rantaian nilai, dengan Singapura dijadual menjadi tuan rumah Mesyuarat AIMMAF Ke-10 pada 2027.

BACA JUGA Rakyat, pemimpin politik mahu penjelasan terperinci, siapa paksa MB tandatangan surat turunkan Tuanku Muhriz?