Apapun wadah politik, manusia tiada kuasa tentukan nasib manusia lain di akhirat – Tok Guru Wazir

Kedudukan seseorang di akhirat bukan sesuatu yang boleh ditentukan oleh manusia, sebaliknya syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT, kata Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Tuan Guru Sheikh Wazir Che Awang Al-Waki.

Beliau yang juga Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan berkata, manusia tidak seharusnya mengambil kedudukan seolah-olah mempunyai kuasa untuk menetapkan siapa yang layak memasuki syurga atau neraka.

Menurutnya, berdasarkan ajaran Islam, seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan beriman dan mengakhiri hayat dengan kalimah syahadah mempunyai peluang untuk memperoleh syurga.

“Syurga bukan milik kita. Syurga ini milik Allah. Nabi kita telah bersabda, yang menentukan masuk syurga adalah kalimah syahadah. Seseorang itu mati atas iman dan kalimah syahadah, akhir kalamnya La ilaha illallah, maka itulah pintu atau peluang untuk masuk syurga, bukanlah kita yang menentukan,” katanya dalam kenyataan video pada Rabu.

Sheikh Wazir berkata demikian ketika mengulas polemik berhubung kenyataan bahawa seseorang yang menyertai Pas dan memperjuangkan Islam berpeluang memasuki syurga.

Beliau berkata, manusia perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan berkaitan kedudukan seseorang di akhirat kerana syurga dan neraka bukan berada dalam kuasa manusia untuk ditentukan.

“Kalau kita menentukan, maksudnya kita boleh menentukan orang ini masuk syurga, orang ini tidak boleh masuk syurga. Bererti kita seolah-olah Tuhan.

“Seorang yang kata dia boleh menentukan, boleh menentukan siapa masuk syurga, seolah-olah Tuhan walaupun tidak mengaku pada hakikatnya sebagai Tuhan,” katanya.

Menurutnya, percakapan sedemikian boleh menimbulkan gambaran seolah-olah seseorang atau kelompok tertentu mempunyai kuasa menentukan kedudukan seseorang di akhirat, sedangkan perkara itu merupakan hak Allah SWT.

Polemik berkenaan timbul susulan perbahasan terhadap ungkapan “masuk Pas akan masuk syurga”, yang sering digunakan sebagai sindiran terhadap parti berkenaan oleh pihak yang menentangnya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan menjelaskan bahawa perjuangan yang dibawa parti itu berlandaskan Islam dan seseorang yang menyertainya dengan niat memperjuangkan Islam mempunyai peluang untuk memperoleh syurga apabila meninggal dunia.

Penjelasan itu kemudiannya mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana seseorang atau mana-mana kelompok boleh membuat ketetapan berkaitan kedudukan individu lain di akhirat.

Dalam konteks itu, kenyataan Sheikh Wazir dilihat menekankan bahawa perjuangan atas nama agama tidak seharusnya membawa kepada dakwaan bahawa manusia mempunyai kuasa menentukan nasib seseorang di akhirat.

Beliau turut mengingatkan bahawa soal syurga dan neraka perlu dikembalikan kepada kekuasaan Allah SWT, manakala manusia tidak wajar meletakkan dirinya pada kedudukan seolah-olah mampu membuat keputusan muktamad mengenai perkara tersebut.

BACA JUGA Jangan ada undang-undang dua darjat! – 47 CSO desak Najib kekal di penjara