KBS Tower Run uji ketahanan, semarak budaya bersukan menjelang Hari Sukan Negara

FOTO BERITA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membawa aktiviti sukan terus ke tempat kerja menerusi Program KBS Tower Run dengan peserta mencabar ketahanan fizikal mendaki tangga sehingga ke tingkat 17 Menara KBS,

Program itu disertai Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari bersama warga kementerian serta juara dunia tower running, Soh Wai Ching.

Mohammed Taufiq berkata, aktiviti tersebut bukan sekadar menguji ketahanan fizikal peserta, malah menjadi sebahagian usaha membudayakan semangat kesukanan dan meningkatkan tahap kesihatan.

“Kita bukan sahaja nak menguji ketahanan, tapi ini juga sebenarnya nak memupuk semangat kesukanan dan kita nak pastikan kita ada kesihatan yang kuat,” katanya ketika berucap sebelum memulakan cabaran berkenaan.

Menurutnya, penganjuran KBS Tower Run juga bertepatan dengan usaha kementerian menyemarakkan budaya bersukan dalam kalangan masyarakat menjelang sambutan Hari Sukan Negara.

“Sempena untuk menuju ke Hari Sukan Negara, kita bawa sukan pada hari ini, sukan di Menara KBS. Kita akan naik sehingga ke tingkat 17, tingkat paling tinggi di pejabat saya,” katanya.

Kehadiran Soh yang merupakan antara pelari menara terbaik dunia pula diharap dapat menyuntik semangat kepada peserta untuk mencabar kemampuan masing-masing dalam aktiviti berkenaan.

Mohammed Taufiq berkata, KBS berhasrat meneruskan lebih banyak program seumpama itu, bukan hanya tertumpu kepada tower running, sebaliknya merangkumi pelbagai aktiviti sukan lain.

Katanya, usaha berkenaan penting bagi menarik lebih ramai rakyat menjadikan aktiviti fizikal dan sukan sebahagian daripada kehidupan seharian, sekali gus membantu mereka menjaga tahap kesihatan.

“Sekarang ini kita menuju ke Hari Sukan Negara, kita nak mengumpul lebih ramai lagi orang yang berminat dengan sukan supaya dapat menjaga kesihatan kita.

“Semangat, terus semangat dan selamat menuju ke tingkat 17,” katanya sebelum peserta menjalani sesi pemanasan badan dan memulakan cabaran mendaki Menara KBS.