ANALISIS: Anwar ke Sabah, selesaikan perjanjian Malaysia 1963 dengan Hajiji dan Abang Jo
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual memberi tumpuan kepada agenda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Sabah hari ini, ketika Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha menyelesaikan tuntutan yang sekian lama menjadi isu besar hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
Anwar dijadual mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 bersama kepimpinan Sabah dan Sarawak, termasuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.
Pertemuan itu penting kerana MA63 bukan lagi boleh dilihat sekadar slogan yang muncul menjelang pilihan raya. Selepas hampir empat tahun pentadbiran Anwar, rakyat Sabah dan Sarawak tentunya mahu melihat hasil yang boleh diukur.
Antara perkembangan penting sepanjang pentadbiran Kerajaan Madani ialah beberapa perkara di bawah MA63 yang sebelum ini tertangguh telah diberikan perhatian dan diselesaikan secara berperingkat, sementara isu yang lebih kompleks terus dirundingkan.
Anwar sendiri berulang kali menegaskan bahawa hak Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat sebagai ihsan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang perlu ditunaikan berdasarkan Perlembagaan dan semangat pembentukan Malaysia.
Pendekatan itu juga menjadikan hubungan Putrajaya dengan kerajaan Sabah dan Sarawak lebih penting. Dalam banyak isu, penyelesaian memerlukan rundingan antara kerajaan dan bukannya sekadar pertikaman lidah politik.
Namun masih terdapat tuntutan besar yang belum selesai sepenuhnya. Sebab itu mesyuarat hari ini akan diperhatikan bagi melihat sejauh mana Putrajaya bersedia bergerak lebih jauh dalam perkara yang melibatkan kuasa, kewangan dan pentadbiran Sabah serta Sarawak.
Bagi PH, perkembangan MA63 juga menjadi ukuran kepada agenda reformasi kerajaan. Reformasi bukan hanya mengenai institusi di Kuala Lumpur, tetapi turut melibatkan pembetulan hubungan Persekutuan dengan negeri-negeri yang membentuk Malaysia.
Selepas berdekad MA63 menjadi modal politik pelbagai pihak, cabaran Anwar sekarang ialah membuktikan bahawa di bawah Kerajaan Madani, lebih banyak perkara boleh diselesaikan melalui rundingan dan keputusan sebenar.
Hari ini perhatian bukan kepada berapa banyak lagi janji mengenai MA63 yang mahu dibuat — tetapi berapa banyak lagi janji lama yang akhirnya boleh ditunaikan.
BACA JUGA Mesyuarat Lembaga Pengampunan: PH tegas tolak rasuah, hormati kuasa Agong tentukan pengampunan Najib