Dulu doktor dikontrakkan, kini 18,564 ditawarkan tetap, siapa sebenarnya sedang selesaikan maasalah?

Ketika isu doktor kontrak terus dijadikan bahan untuk menyerang kerajaan hari ini, satu fakta penting sering tenggelam — sistem lantikan doktor secara kontrak bukan bermula di bawah Kerajaan Madani.

Rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan pekeliling mengenai pelantikan secara kontrak bagi pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dikeluarkan pada 15 Disember 2016, ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Langkah itu diperkenalkan ketika berlaku lambakan graduan perubatan serta kekurangan penempatan latihan dan jawatan tetap. Ia pada asalnya bertujuan membolehkan doktor muda memulakan latihan siswazah tanpa perlu menunggu terlalu lama.

Namun masalah doktor kontrak kemudian berlarutan bertahun-tahun sehingga mencetuskan keresahan mengenai jaminan kerjaya, peluang kepakaran dan masa depan doktor muda. Pada Julai 2021, isu tersebut memuncak dengan gerakan Hartal Doktor Kontrak.

Kini Kerajaan Madani sedang melaksanakan langkah besar untuk mengurangkan masalah yang diwarisi itu. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan 18,564 pegawai perubatan telah ditawarkan jawatan tetap bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Daripada jumlah tersebut, 14,064 tawaran dibuat antara 2023 hingga 2025, manakala sebanyak 4,500 lagi doktor kontrak ditawarkan pelantikan tetap pada 2026.

Malah, kerajaan memberikan KKM autonomi lebih besar untuk mengurus, menyusun dan mengagihkan jawatan yang telah diluluskan, dengan matlamat mempercepatkan pengisian tenaga kerja serta mengurangkan kekurangan doktor di fasiliti tertentu.

Kerajaan juga tidak mahu sistem kontrak ini menjadi masalah kekal. KKM menyasarkan mulai 2028, semua pegawai perubatan yang selesai menjalani latihan siswazah atau housemanship dapat ditawarkan jawatan tetap.

Belanjawan 2026 turut membawa penambahbaikan lain untuk petugas kesihatan, termasuk kenaikan Elaun Tugas Atas Panggilan sehingga 40 peratus, dengan implikasi kewangan RM120 juta setahun.

Justeru, perbahasan mengenai doktor kontrak wajar dibuat berdasarkan garis masa yang lengkap. Kerajaan hari ini boleh terus dinilai dan dikritik mengenai kelajuan serta keberkesanan penyelesaiannya, tetapi asal-usul masalah itu juga tidak seharusnya dipadam daripada sejarah.

“Persoalannya mudah: jika sistem doktor kontrak bermula pada 2016 dan hari ini puluhan ribu tawaran jawatan tetap sedang diberikan, siapa sebenarnya yang mewariskan masalah — dan siapa yang sedang berusaha menyelesaikannya?”

BACA JUGA ANALISIS: Anwar ke Sabah, selesaikan perjanjian Malaysia 1963 dengan Hajiji dan Abang Jo