Anwar tiba di Kota Kinabalu malam tadi, selesaikan isu MA63 dengan pemimpin Sabah dan Sarawak

Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu, Sabah malam tadi dan terus menghadiri Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

Turut bersama Ketua Menteri Sabah, Premier Sarawak serta pimpinan kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam suasana penuh muhibah dan kebersamaan.

“Sabah dan Sarawak adalah rakan setia dalam Kerajaan Perpaduan yang terus bersama-sama memperkukuh kestabilan negara serta memantapkan semangat perpaduan dan kebersamaan antara wilayah.

“Insya-Allah, perpaduan dan kepercayaan yang terbina ini akan terus menjadi kekuatan dalam menjayakan agenda pembangunan serta menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” kata Anwar dalam kenyataannya malam tadi.

Anwar dijadual mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 bersama kepimpinan Sabah dan Sarawak, termasuk Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg.

Pertemuan itu penting kerana MA63 bukan lagi boleh dilihat sekadar slogan yang muncul menjelang pilihan raya. Selepas hampir empat tahun pentadbiran Anwar, rakyat Sabah dan Sarawak tentunya mahu melihat hasil yang boleh diukur.

BACA JUGA ANALISIS: Anwar ke Sabah, selesaikan perjanjian Malaysia 1963 dengan Hajiji dan Abang Jo