SKMM teliti dakwaan dalam laporan Anthropic, ambil serius isu dibangkitkan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil maklum laporan terkini yang diterbitkan oleh Anthropic dan memandang serius perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.
SKMM berkata, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, perkara yang dinyatakan dalam laporan tersebut bukan sebahagian daripada fungsi atau mandatnya.
“SKMM juga tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan tersebut,” menurut SKMM dalam kenyataan.
Menurut SKMM, pihaknya kini sedang meneliti laporan berkenaan dan akan mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak-pihak berkaitan.
Langkah itu bagi memastikan fakta sebenar serta memahami konteks isu yang dibangkitkan.
SKMM berkata, berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, pihaknya akan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian mengikut bidang kuasanya, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.
“Usaha melindungi orang ramai dan menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi teras tanggungjawab SKMM.
“SKMM akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.