Otai media pelik : Umno nak bolot Melaka, kenapa Mat Hasan pula tuntut keikhlasan Pas kerusi SG4?

Persoalan mengenai tuntutan Umno supaya Pas membuktikan keikhlasan dalam rundingan pembahagian kerusi di empat negeri Gabungan Kerjasama Strategik (SG4) dipertikai pengulas media, Fathi Aris Omar, yang menyifatkan kedudukan politik kedua-dua parti di kawasan berkenaan perlu dilihat secara realistik.

Fathi mempersoalkan mengapa Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, meminta Pas membuktikan keikhlasan untuk bekerjasama, sedangkan parti itu mempunyai kedudukan jauh lebih dominan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Aku dah sampai tahap tidak faham Umno. Dia punya bengong sudah di luar akal sihat. Kau yang nak kerjasama dengan Pas, apahal pulak nak persoal Pas ikhlas atau tidak?” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurut Fathi, pendirian Pas mengenai kedudukan kerusi di SG4 sebenarnya sudah jelas apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyatakan parti itu akan mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya di empat negeri berkenaan.

Katanya, Umno sepatutnya terlebih dahulu mengambil kira kekuatan semasa parti masing-masing sebelum mengharapkan Pas memberikan konsesi dalam rundingan pembahagian kerusi.

“Umno sedar diri atau tidak? Di SG4, Umno ada dua kerusi sahaja. Ulang: dua kerusi sahaja!” katanya.

Berdasarkan keputusan pilihan raya, Umno hanya mempunyai dua kerusi di Kelantan dan tidak memenangi sebarang kerusi di Terengganu, Kedah serta Perlis.

Fathi berkata keadaan itu berbeza dengan pendirian Umno di Melaka apabila parti berkenaan mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Umno bersedia memberikan ruang yang sama kepada Pas di negeri-negeri lain.

“Di Melaka pandai Umno nak pertahan semua 21 kerusi. Jadi kau expect Pas-PN nak beri konsesi atau kerusi belas ihsan pada Umno?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Umno bersedia memberikan kerusi kepada Pas di Johor atau menyerahkan kerusi yang dimenanginya kepada parti itu di Negeri Sembilan sekiranya konsep keikhlasan tersebut benar-benar mahu dijadikan asas rundingan.

Kenapa Pas pula perlu buktikan keikhlasan?

Fathi turut mengkritik cadangan supaya Pas membuktikan keikhlasannya dengan mengadakan pilihan raya negeri di SG4.

“Dah tu cadang Pas tunjuk keikhlasan di SG4 dengan buat PRN tu apa gunanya, Tok Mat?” katanya.

Menurutnya, isu sebenar bukan sekadar soal kesediaan untuk bekerjasama, tetapi melibatkan pertindihan kawasan pengaruh antara Umno dan Pas, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Fathi berkata SG4 mempunyai kedudukan tersendiri dalam strategi politik Pas kerana Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis merupakan negeri yang menyaksikan pengaruh parti itu berada pada tahap paling kukuh.

“Apa makna SG4, Tok Mat? Maknanya teras budaya dan identiti Melayu. Maknanya terimalah hakikat bahawa Pas dan Umno berebut kerusi yang sama.”

Beliau berkata perkembangan politik di Terengganu merupakan contoh paling jelas bagaimana Pas berjaya menghakis pengaruh Umno dalam kalangan pengundi Melayu.

Menurutnya, kemenangan Pas dalam semua 32 kerusi DUN Terengganu pada pilihan raya negeri 2023 tidak boleh dilihat semata-mata melalui persaingan Pas dengan DAP kerana DAP sendiri tidak bertanding di negeri tersebut.

Sebaliknya, beliau berpandangan naratif berkaitan ancaman terhadap Melayu yang dibawa Pas turut menjadi instrumen untuk menewaskan Umno.

“Tok Mat tahu sebab apa jadi 32-0 di Terengganu? Sebab Pas jual retorika Melayu terancam di tangan DAP. Tetapi seekor DAP tadok di Ganung! Retorika ini hanya untuk tewaskan Umno sahaja.”

Fathi seterusnya memberi gambaran bahawa pendirian Umno untuk mempertahankan semua kerusi di Melaka boleh menjadi antara faktor yang menyukarkan rundingan dengan Pas di negeri-negeri lain.

Katanya, jika Umno mahu mengekalkan kesemua 21 kerusi di Melaka, parti itu perlu bersedia menerima hakikat bahawa Pas juga mempunyai kepentingan untuk mempertahankan kedudukannya di SG4 dan kawasan lain yang menjadi medan persaingan kedua-dua parti.

“Kalau Umno keras kepala nak sangat 21 kerusi di Melaka, memang susahlah runding kerusi di SG4, Perak dan Selangor.”

Beliau turut merujuk kepada kedudukan kerusi Umno di Perak, Selangor dan Pulau Pinang yang masing-masing menyaksikan parti itu mempunyai sembilan, dua dan dua kerusi.

Fathi turut mempersoalkan pendekatan Umno yang dilihat mahu mengadakan rundingan pembahagian kerusi secara langsung dengan Pas, sedangkan Pas merupakan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, sebarang rundingan kerusi antara blok pembangkang tidak boleh mengetepikan kedudukan parti-parti lain dalam PN, khususnya apabila kerusi yang dipertandingkan turut membabitkan kawasan yang menjadi kepentingan Bersatu dan parti komponen lain.

Beliau berkata Umno perlu memahami bahawa kekuatan Pas di SG4 tidak terhasil daripada rundingan politik semata-mata, sebaliknya dibina melalui penguasaan parti itu terhadap kawasan majoriti Melayu sejak beberapa pilihan raya lalu.

Pada masa sama, Fathi mengingatkan bahawa Pas juga mempunyai rekod tersendiri dalam hubungan politik dengan Umno dan pernah membuat keputusan yang akhirnya menjejaskan kerjasama kedua-dua parti.

Justeru, katanya, jika Umno benar-benar mahu membina kerjasama baharu dengan Pas, pendekatan rundingan perlu berasaskan realiti kekuatan politik semasa dan bukannya meletakkan seluruh beban pembuktian keikhlasan kepada satu pihak sahaja.

Dalam konteks SG4, persoalan yang lebih besar ialah sejauh mana Umno dan Pas bersedia menerima realiti bahawa kedua-duanya masih berebut sokongan pengundi Melayu yang sama. Selagi pertindihan kepentingan itu tidak diselesaikan, rundingan pembahagian kerusi dijangka terus menjadi titik paling sukar dalam usaha kedua-dua parti mencari bentuk kerjasama baharu.

BACA JUGA Zahid cabar Anwar, tapi Umno sendiri belum tentu bersama