Perginya ketika berkhidmat, pulangnya dalam penghormatan – Dr Hafidzah kenang Dr Ainul Baraah

Pemergian Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamaruddin bukan sekadar kehilangan seorang anggota keluarga, malah satu kehilangan besar kepada masyarakat yang pernah menerima khidmatnya sebagai seorang doktor.

ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, menyifatkan kepulangan jenazah Dr Ainul Baraah ke tanah kelahirannya sebagai detik yang amat menyentuh hati, selepas Allahyarhamah terkorban dalam nahas helikopter ketika sedang menjalankan tugas perubatan di Sarawak.

Menurut Dr Hafidzah, suasana hiba menyelubungi ketibaan jenazah Allahyarhamah yang disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, barisan pimpinan kerajaan negeri, rakan-rakan seperjuangan, sanak saudara serta ahli keluarga.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Al-Karomah untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Kedeper.

Dr Hafidzah berkata, antara detik yang paling menyentuh hati ialah apabila Dr Dzulkefly sendiri mengimamkan solat jenazah dan membacakan doa buat Allahyarhamah.

Katanya, doa yang dilafazkan dengan penuh syahdu itu mengiringi pemergian seorang doktor yang meninggal dunia ketika sedang melaksanakan amanah kemanusiaan.

“Hari ini, sebuah keluarga kehilangan anak yang dikasihi. Sanak saudara kehilangan insan tersayang. Rakan-rakan kehilangan seorang sahabat dan teman seperjuangan.

“Namun kehilangan Dr Ainul Baraah jauh lebih besar daripada itu,” katanya dalam catatan yang dikongsikan

.

Menurut Dr Hafidzah, Malaysia kehilangan seorang doktor muda yang sanggup pergi jauh demi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman turut mendapat hak untuk menerima rawatan dan perhatian.

“Khidmatnya mungkin telah terhenti, tetapi pengorbanannya akan terus hidup dalam ingatan kita,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar setiap langkah Allahyarhamah ketika menjalankan tugas, setiap pesakit yang pernah dirawat, segala kesusahan yang ditempuh serta kebaikan yang ditinggalkan menjadi amal jariah dan saksi di hadapan Allah SWT.

Dr Hafidzah kemudian menitipkan doa agar Allahyarhamah diampunkan, dirahmati, disejahterakan serta diampunkan segala kesalahannya.

“Selamat jalan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin. Pergimu dalam sebuah tugas. Pulangmu dalam sebuah penghormatan. Namamu akan dikenang sebagai insan yang memilih untuk berkhidmat sehingga ke penghujung hayat,”

Catatan itu diakhiri dengan bacaan Al-Fatihah buat Allahyarhamah Dr Ainul Baraah.