RENCANA | Pas dijemput, Hamzah, PN dipinggir : Adakah Umno sedang pecah dan perintah?
MOHD NAJIB HASHIM
Perkembangan politik menjelang PRU16 semakin memperlihatkan satu pola yang menarik apabila Umno membuka ruang yang lebih luas kepada Pas, tetapi pada masa sama kelihatan berhati-hati untuk berurusan dengan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan.
Jemputan kepada kepimpinan Pas menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 bukan lagi sekadar soal protokol kerana ia berlaku ketika kedua-dua parti sedang menguji kemungkinan kerjasama baharu, sedangkan PN yang menaungi Pas bersama beberapa parti lain tidak menerima layanan yang sama.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sendiri menjelaskan bahawa jemputan kepada Pas dibuat sebagai membalas jemputan parti itu ke Muktamar Pas.
Di sinilah persoalan mengenai strategi “pecah dan perintah” mula timbul. Umno tidak perlu berdepan dengan seluruh PN sekiranya parti itu boleh membuka laluan terus kepada Pas sebagai kuasa politik yang jauh lebih besar dari segi akar umbi, jentera dan pengaruh pilihan raya.
Dengan mendekati Pas secara dua hala, Umno pada asasnya boleh mengelakkan dirinya daripada terikat dengan keseluruhan struktur PN, termasuk parti-parti yang lebih kecil dan kini bersaing mendapatkan tempat dalam rundingan kerusi.
Lebih menarik, perkembangan itu berlaku ketika kedudukan Parti Wawasan Negara pimpinan Hamzah Zainudin sendiri masih dalam proses membina identiti dan kekuatan politik.
Parti Wawasan baru sahaja membuat penampilan pilihan raya pertamanya di Negeri Sembilan selepas diluluskan sebagai nama baharu parti tersebut dan diterima sebagai anggota PN.
Hamzah sebelum ini mengakui Wawasan mengintai tiga atau empat kerusi pada pilihan raya itu, manakala calon-calon parti bertanding menggunakan lambang PN.
Parti dua hari, tiada jentera
Dalam konteks itu, ucapan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengenai “parti dua hari” menjadi semakin menarik. Sanusi tidak menyebut Wawasan secara langsung ketika memberi amaran bahawa Pas tidak sepatutnya tunduk kepada parti baharu atau kecil, tetapi beliau menegaskan Pas tidak boleh terus berada dalam keadaan parti lain menjadi calon sedangkan Pas pula menyediakan jentera untuk memenangkan mereka.
Beliau mengibaratkan Pas sebagai “parti gajah” dan parti baharu sebagai “kucing” yang tidak sepatutnya membuat Pas berasa kerdil.
Jika ucapan itu dibaca bersama perkembangan di PAU, persoalannya menjadi lebih tajam: adakah Umno kini melihat Pas sebagai rakan yang perlu dirundingkan secara terus, manakala parti-parti lain dalam PN boleh diketepikan daripada rundingan utama?
Malah Umno Kedah sendiri secara terbuka menyatakan kesediaan untuk memulakan perbincangan dengan Pas, tetapi bukan dengan PN, sambil menggunakan istilah “parti kucing” yang dipetik daripada kenyataan Sanusi. Walaupun keputusan muktamad masih terletak pada kepimpinan pusat Umno, isyarat politik daripada negeri itu cukup jelas.
Situasi ini secara tidak langsung meletakkan Hamzah dalam kedudukan yang sukar. Sebelum ini beliau pernah berada dalam Umno, kemudian menjadi antara tokoh penting Bersatu sebelum membentuk Wawasan selepas disingkirkan daripada Bersatu.
Kini beliau memimpin sebuah parti baharu yang berada dalam PN, tetapi pada masa sama berdepan realiti bahawa rakan politik yang mempunyai jentera terbesar dalam gabungan itu, iaitu Pas, sedang menunjukkan kecenderungan untuk mempertahankan kerusi dan kekuatan sendiri.
Lebih penting, kebimbangan terhadap keupayaan Wawasan membina kekuatan sendiri bukan sekadar datang daripada pihak luar. Ketika kemunculan Wawasan dalam PRN Negeri Sembilan, parti itu bergerak menggunakan jenama PN dan bekerjasama dengan jentera gabungan tersebut.
Hamzah sendiri sebelum pilihan raya bercakap mengenai penggabungan jentera PN dan BN sebagai kekuatan untuk menghadapi pilihan raya. Maka cabaran sebenar kepada Wawasan selepas pilihan raya ialah membuktikan bahawa ia mempunyai kekuatan akar umbi dan jentera tersendiri, bukan sekadar bergantung kepada kekuatan parti lain.
Dalam masa yang sama, Pas juga mempunyai kepentingan tersendiri. Sanusi sudah memberi amaran bahawa Pas tidak mahu lagi menyerahkan kerusi yang mempunyai potensi kemenangan kepada parti lain hanya kerana mahu menjaga hati rakan politik.
Beliau malah mengingatkan bahawa keadaan di mana parti lain menjadi calon sementara Pas menjadi jentera tidak boleh berterusan. Ini menunjukkan Pas sendiri sedang memasuki fasa baharu, iaitu daripada parti yang bersedia membantu rakan kepada parti yang mahu mengukur setiap kerusi berdasarkan kekuatan dan peluang kemenangannya sendiri.
Sebab itu cabaran Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, kepada Pas supaya menguji formula kerjasama di salah sebuah negeri SG4 juga tidak boleh dilihat sebagai kenyataan biasa.
Tok Mat mencadangkan supaya salah satu negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah atau Perlis mengadakan pilihan raya selepas PRN Melaka bagi melihat bagaimana pembahagian kerusi dan formula kerjasama dapat dilaksanakan.
Beliau mahu melihat sama ada penyatuan Melayu yang disebut-sebut itu benar-benar memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak atau hanya menguntungkan satu pihak.
Lebih menarik lagi, respons Annuar Musa terhadap cabaran itu memperlihatkan bahawa PN tidak semestinya akan menerima pendekatan Umno secara senyap.
Annuar yang juga pemimpin Pas dan PN mengingatkan Umno supaya melihat kembali “formula” yang pernah digunakan sebelum ini, satu jawapan yang menunjukkan bahawa sebarang usaha mendekati Pas secara berasingan daripada PN berpotensi mencetuskan persoalan lebih besar dalam kalangan sekutu politik Pas.
Akhirnya, persoalan paling besar bukan sekadar sama ada Umno mahu bekerjasama dengan Pas, tetapi apa yang akan berlaku kepada struktur politik PN jika hubungan dua hala Umno-Pas semakin kukuh.
Umno mungkin tidak perlu memecahkan PN secara terbuka; cukup dengan membuka pintu kepada Pas dan membiarkan realiti kekuatan pilihan raya menentukan siapa yang mempunyai tempat di meja rundingan.
Jika Pas memilih untuk mengutamakan kepentingannya sendiri, manakala Wawasan dan parti-parti lain gagal membuktikan kekuatan akar umbi yang setara, PN boleh berdepan tekanan dalaman yang lebih besar.
Dalam keadaan itu, istilah “pecah dan perintah” mungkin bukan strategi yang diumumkan Umno, tetapi ia boleh menjadi kesan daripada strategi memilih siapa yang benar-benar mempunyai nilai politik untuk dibawa ke PRU16.
BACA JUGA Dari RCI ke mahkamah: Jamil Khir bakal berdepan 3 pertuduhan Tabung Haji